Hilang Sabar!

Lahirnya anak-anak ke dunia adalah untuk disayangi dan dikasihi, wajah yang halus, kulit yang mulus, jiwa yang tulus bersih dari dosa noda akan menyejukkan siapa sahaja yang memandang wajah anak-anak kecil.

Membaca kisah pembunuhan Syafiah Humaira' yang namanya sama dengan nama anakku, mengundang amarah yang tidak dapat digambarkan. Bagaimana seorang manusia sanggup memperlakukan anak kecil sedemikian kejam.

Anak kecil yang tidak mampu melawan, hanya mampu menangis dan menderita tatkala diseksa. Penderitaan yang dialami tidak dapat digambarkan oleh kata-kata, lebih kejam dari binatang, lebih kejam dari segala yang tergambar dikepalaku.

Tiada seksa dunia yang mampu membalas apa yang telah dilakukan oleh lelaki tersebut,tiada perbendaharaan kata yang mampu aku susun untuk mencerca dirinya, moga Allah menghinakannya dan membalasnya dengan azab yang 10 kali lebih azab di dunia dan akhirat jika dia tidak bertaubat.

Adapun aku, pasti aku tidak akan dapat memaafkan perbuatan ini sehingga bila pun, jika diikutkan amarah, entah apa yang akan aku lakukan jika aku berjumpa lelaki ini...

Allah, Allah, Allah

Bukan Malaikat Bukan Juga Bidadari



Masih basah diingatan ketika mula-mula aku kenal jalan dakwah dan tarbiyyah, segala-galanya terasa begitu indah dan manis. Kemanisan dan nikmat berada diatas jalan dakwah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Detik-detik masa yang dilalui bersama sahabat-sahabat sefikrah terasa begitu berharga, terasa hidup begitu bermakna dan bahagia.

Proses tarbiyyah bermula dengan pembentukan individu muslim yang baik diikuti dengan pembinaan rumahtangga islam yang akan menjadi asas kepada pembinaan masyarakat dan negara Islam yang berdaulat dan dihormati oleh negara-negara lain. Aku merasa bertuah kerana dipilih oleh Allah untuk menjadi sebahagian dari batu-bata tarbiyyah dalam proses panjang pembinaan kembali kekuatan ummah ini.

Pembinaan rumahtangga islam atau lebih dikenali dengan Baitul Muslim oleh pendukung-pendukung organisasi dakwah adalah antara jalan yang harus dilalui oleh setiap individu muslim yang beriltizam di atas jalan ini. Rumah tangga yang dibina harus berbeza dari rumahtangga yang dibina oleh masyarakat yang tidak menjadikan islam sebagai asas dalam kehidupan.

Perbezaan ini bermula dari saat memilih pasangan lagi, jika kebanyakan dari masyarakat biasa memilih pasangannya dengan hanya melihat kepada rupa tanpa mengira keteguhannya dalam beragama, bercinta sebelum berkahwin, bertukar-tukar pasangan dengan alasan untuk mencari calon terbaik, para pendakwah harus memilih jalan yang berbeza.

Pencarian pasangan dilakukan atas asas agama dan terpelihara dari unsur-unsur maksiat berdua-duaan, budaya keluar bersama, ke panggung wayang bersama, berkongsi segalanya sebelum perkahwinan dan segala budaya berpacaran tidak sihat yang diamalkan oleh kebanyakan dari para remaja hari ini.

Pencarian dan pencalonan dilakukan dengan penuh hormat dan bermaruah serta mengambil kira pelbagai faktor, terutamanya ibu bapa. Walaupun dakwah adalah utama namun memelihara hubungan yang baik serta menggembirakan hati ibu bapa adalah tanggungjawab yang harus dipelihara oleh setiap pendakwah. Ibu bapa jangan sekali-kali dipinggirkan dalam urusan memilih pasangan.

Bahtera rumahtangga para pendakwah yang walaupun melalui proses yang teratur dan rapi serta terpelihara dari segala dosa sebelumnya, adalah rumahtangga sepasang manusia, yang terdedah kepada kelemahan dan godaan syaitan.

Sebelum berkahwin, mungkin harapan seorang ikhwah pada akhawat yang akan dikahwininya pelbagai, pandai memasak, lemah lembut, pandai mengambil hati orang tua, rajin mengemas, pandai menjahit, bersopan santun dan berbudi bahasa, rajin bertahajjud bak senikata lagu Isteri Solehah, penyejuk mata, penawar hati, penenang fikiran.

Begitu juga dengan akhawat, sebelum berkahwin, mungkin harapannya pada seorang ikhwah cukup tinggi. Ikhwah itu dibayangkannya adalah seorang suami yang hebat, tegas, lancar bacaan qurannya, tidak pernah tinggal solat berjemaah, tidak terpengaruh dengan bolasepak, pandai berkebun, bertukang, romantik, thiqah dan sentiasa kemas. Pendek kata suami yang diidamkan bak lelaki soleh yang mempunyai karisma seperti sheikh Yusof Qardhawi.

Aku juga begitu satu ketika dahulu, namun setelah berlalunya masa dan bahtera rumahtanggaku telah mencecah usia 6 tahun, aku sedar bahawa itu adalah harapan yang palsu. Hakikatnya kita berkahwin dengan manusia, bukan dengan malaikat, bukan jua dengan bidadari.

Ikhwah dan akhawat adalah manusia biasa yang penuh dengan kelemahan disana sini. Tidak semua akhawat pandai memasak. Yang pandai memasak tidak pula pandai mengemas, ada yang agak kasar bahkan mungkin tidak pandai mengambil hati ibu dan ayah. Sama juga dengan ikhwah, tidak semuanya hebat, ada yang masih gagap dalam bacaan qurannya, ada yang suara bak buluh perindu namun tualanya melepek disana sini. Tidak kurang juga yang masih terlekat daki daki EPL, champion league dan masih ke kedai mamak menonton siaran langsung Arsenal vs Chelsea.

Ikhwah dan akhawat, berlapang dadalah atas kelemahan pasangan masing-masing, apa yang penting adalah masing-masing sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti iman dan amal soleh. Rancanglah rumahtangga dengan realiti, bukan fantasi. Perubahan tidak akan berlaku semalaman.

Kita adalah manusia, bukan malaikat, buka jua bidadari.

Hanya Hingga Hadis 10


Hari ini kelas terakhirku bersama dengan pelajar kumpulan G subjek System Analysis and Design. Terasa begitu berat untuk meninggalkan kelas ini kerana pada awalnya aku beriltizam untuk membaca satu hari satu hadis dalam kitab hadis 40 hingga ke hujung semester.

Hari ini aku membaca hadis ke 10 dan itu adalah hadis terakhir yang aku bacakan kepada mereka semester ini kerana selepas ini kelas itu akan diambil alih oleh pensyarah baru, En. Ruzman. Nampaknya kesempatan bersama Hadis 40 hanya hingga hadis ke 10.

Walaupun hanya 10 hadis, tetapi banyak manfaat yang aku dapat hasil dari pembacaan dan tadabbur sebelum masuk ke kelas, dan harapnya manfaat tersebut dapat bersama-sama dikongsi oleh pelajar-pelajar semuanya.

Kepada pelajar-pelajarku, teruslah membaca hadis-hadis yang seterusnya dan semoga Allah mengurniakan kepada anda semua iman dan hidayah hingga penghujung kehidupan.

Cari Cari Pasangan


Dalam sebuah hadis, Rasulullah meriwayatkan bahawa Islam akan kembali dagang (asing) suatu hari nanti, hari ini, kita lihat nilai-nilai Islam kian beransur-ansur menjadi asing, banyak perkara yang dulunya jelas haram, kini ditolak ansurkan dan menjadi kebiasaan pula, banyak contoh yang boleh kita lihat, antaranya kepelbagaian fesyen wanita yang mengelirukan manakala orang yang bertudung labuh dilihat sebagai alim atau dianggap ustazah. Tudung dianggap fesyen semasa yang sekadar menutup rambut atau jambulnya sahaja.

Begitu juga dengan menonton rancangan-rancangan televisyen yang melalaikan dan mengandungi adegan tahyul, asmara dan ganas, dahulu asing tapi kini telah hampir menjadi perkara biasa pula, melihatnya tidak terasa berdosa. Begitu juga dengan budaya ber “awek-balak” di kalangan remaja. Tidak mempunyai makwe/pakwe dianggap suatu kepelikan pula, bahkan ada ibu bapa yang hairan anaknya masih belum berpunya walaupun masih di bangku sekolah.

Ada pula yang mempertikaikan “Eh, kalau tak boleh dating, macamana nak kenal hati budi bakal isteri”, seolahnya sebelum berkahwin perlu pada berdating-dating dan bercouple-couple dulu untuk memastikan bahawa pasangan kita itu serasi.

Memang benar dalam Islam disunatkan agar kita melihat bakal isteri, tapi tidaklah hingga kita boleh berdua-duaan dengannya, keluar bersama, bergayut di telefon berjam-jam, kononnya nak tengok muka bakal isteri puas-puas. Seadanya lah nak tengok bakal isteri pun, lepas kahwin nanti tengoklah sampai tak larat nak tengok.

Jadi kalau itu tak boleh, ini tak boleh, macamana nak cari pasangan, zaman sekarang bukan macam zaman dulu dah, ini zaman tanpa wayar, segalanya mesti canggih, cara dulu dah lapuk dah...eh, nanti dulu, tak semua benda yang lama tu lapuk, Islam tidak pernah lapuk dan tidak akan lapuk hingga hari kiamat. Jadi macamana?

Islam meletakkan asas perkahwinan pada empat perkara dan yang terpenting adalah agama.

Jadi kalau kita nak memilih pasangan carilah yang beragama. Bertudung labuh dan sentiasa berkopiah atau mempunyai tanda hitam di dahi bukan jaminan seseorang itu beragama, tapi lihatlah pada akhlak dan pergaulannya sesama manusia.

Jangan hanya lihat pada dahi yang licin atau pada wajah yang ala-ala Fahrin Ahmad atau Maya Karin, muka macam Ronaldinho pun kira ok kalau baik agamanya.

Persoalannya, bagaimana nak tahu kalau nak keluar bersama tak boleh?

Sebelum tu, perlu diingat bahawa lelaki dan wanita adalah dari dua planet yang berbeza, tabiat dan cara fikir yang berbeza, tika keluar bersama, yang kelihatan hanyalah yang manis dan indah belaka, belum keluar lagi perangai tidur lepas subuh, baju seluar melepek, tak basuh stokin, ketiak berbau, kentut kuat dan macam-macam lagi yang hanya akan keluar selepas berkahwin dan tinggal bersama, betul tak ummuhumaira, hehe...

Jadinya, disinilah orang tengah yang dipercayai akan memainkan peranan, kalau kita berminat pada seseorang, carilah orang yang dipercayai untuk bertanya dan menyampaikan hasrat, sebolehnya orang yang telah berkahwin, kalau yang bujang ni sat gi dikebasnya pula. Tanyalah pada orang tengah ini tentang sikap-sikap dan cara hidupnya dan samaada orang yang kita minat itu “sekufu” dengan kita. Khadijah ketika ingin melamar Rasulullah juga menggunakan khidmat Rasulullah dan begitulah yang diamalkan oleh kebanyakan dari sahabat.

Juga jangan dilupakan solat istikharah dalam membuat pilihan, tidak akan rugi orang yang istikharah kerana panduan Allah itulah yang paling kita perlukan kerana hanya dia yang mengetahui yang terbaik untuk kita.

Setelah bermesyuarat dengan orang tengah, istikharah pun sudah, hati pun dah rasa senang dan tenang, maka taaruflah seadanya dengan ditemani oleh pihak ketiga yang dipercayai. Sebolehnya dirumah orang yang lebih tua.

Selepas taaruf,jika telah berkemampuan, teruslah berbincang dengan keluarga, jika keluarga setuju, Alhamdulillah, tapi jika mak dan ayah menentang keras, cubalah bawa berbincang dengan penuh hikmah, tidak ada masalah yang tidak boleh dibincang dan diselesaikan.

Jika segalanya selesai, hantarlah lamaran rasmi, merisik dan kemudian bertunang, tapi awas, elakkan tempoh pertunangan yang terlalu lama, banyak fitnah dan dugaannya, dan setelah segalanya mantap dan sedia, lafazkanlah

“Aku terima nikahnya...”

Bukan Chenta Biasa


Semalam ketika berforum di kem CUDIPT anjuran krimkedah, aku diajukan satu soalan oleh peserta.

“Soalan ni saya nak ajukan pada En. Hisham” seorang peserta bangkit selepas sesi soaljawab mula dibuka.

Aku melirikkan mata kepada seorang pelajar lelaki berbaju coklat.

“Nama saya Fawwaz dari Pendang, dulu bersekolah di STAR Ipoh, sekarang sedang menanti keputusan SPM, soalan saya ialah...”

Kata-katanya terhenti seketika, diambilnya nafas sebelum soalan diteruskan.
“Bagaimana kita nak bercouple secara islam?” Fawwaz bertanya sambil tersengih-sengih, begitu juga aku lihat peserta-peserta lain, pelajar perempuan ada yang tersipu-sipu malu.

Telah aku jangka, soalan begini pasti keluar setelah dalam sesi forum aku menjelaskan akan natijah perhubungan antara lelaki dan wanita khususnya remaja diluar ikatan perkahwinan.

Aku juga turut tersenyum mendengar soalan itu dan perlahan-lahan mikrofon diangkat untuk memberi jawapan.

“Ok, begini, agak-agaknya bagaimana caranya couple yang Islamic tu ye?” aku melontarkan kembali persoalan tadi kepada pelajar, sambil aku mengingat beberapa artikel yang pernah aku baca hasil tulisan Ustaz Fauzi dan juga Ustaz Hasrizal dalam mengulas isu “couple Islamic” ini.

Seingat aku, ada beberapa artikel yang baik untuk dibaca oleh remaja yang ingin mencari panduan dalam isu ini, antaranya “Sepinggan Dosa Berulam Pahala”, “Teori Evolusi Cinta” oleh Ustaz Hasrizal di saifulislam.com, “Cinta Anta Anti” karangan Ustaz Maszlee dan “Cinta Oh Cinta” karangan Ustaz Fauzi Asmuni di satuperkongsian.wordpress.com. Versi yang lebih menarik yang pernah dijumpai adalah karya Cinta Sempurna dalam bentuk comic strip hasil karya norhikari

Jika mencari panduan cinta yang lebih lengkap, boleh juga merujuk buku Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai ke Syurga juga oleh Ustaz Hasrizal dan pastinya buku Tentang Cinta oleh Pahrol Md. Juoi.

Dalam sesi yang ringkas sebegini, sukar juga untuk aku menyusun perkataan mencari sebuah simpulan kepada bacaan-bacaan tadi, bagi difahamkan kepada adik-adik yang masih mentah dalam dunia cinta remaja.

“Mungkin begini kot”...aku menjawab sendiri pertanyaan tadi setelah ku lihat adik-adik di depanku hampir tenggelam dalam khayalan sendiri.

“Datingnya berteman, keluarnya bersama kawan-kawan...perbincangannya hanya perkara-perkara yang meningkatkan iman” aku memulakan bicara.

“saling bersms pula dalam ketaatan, masing-masing saling ingat mengingati dalam kebenaran”

“Jika couple biasa, begayut di telefon, mungkin couple Islamic ini saling miscall jam 3 4 pagi, mengejutkan teman seperjuangan agar bangun bermunajat kepada tuhan.”
Rata-rata peserta yang tadinya mengantuk-ngantuk kembali bulat matanya, ada yang ketawa kecil dan ada pula yang tersengih gembira...

“smsnya pula mungkin pada mengingatkan agar terus tabah dalam perjuangan, kalau couple biasa mungkin ayat-ayat cintanya berbunyi “aku cinta pada mu duhai kekasih hati”, tetapi couple yang Islamic ini ayat-ayat cintanya mungkin “marilah kita bersama mengejar redha ilahi” atau “ana doakan enti terus tabah menghadapi dugaan dalam perjuangan, moga semangat kita terus maju mengalir bersama deru dakwah”
Kemudian aku berhenti seketika, berfikir sambil bait-bait nasihat disusun dikepala.

“Adik-adik kena ingat, syaitan ini memang makhluk yang cukup pandai menipu, pada orang biasa mungkin cukup sekadar yang berpangkat prebet atau sarjan sahaja, tetapi bagi para da’ie “utusan” yang dihantar mungkin bertaraf sarjan mejar, kapten atau mungkin mejar.

Tipu dayanya lebih halus, licik dan diperhiaskan agar kelihatan indah dan dirasakan cinta itu adalah cinta qudus dalam mencari redha tuhan.” Aku mula menyampaikan point penting, kali ini dengan nada yang lebih serius.

“Mula-mula mungkin berutus sms nasihat perjuangan dan hadis-hadis bimbingan, tapi lama kelamaan ada terselit gurau senda dan akhirnya jadi sms biasa. Dari sms upgrade kepada “calling calling” pula, kemudian berjumpa berteman dan kemudian hanya berdua-duaan. Kemudian bergesel lengan tika berjalan, upgrade pula kepada berpegang tangan dan akhirnya bercumbu-cumbuan dan akhirnya terjadilah apa yang terlarang dan ketika itu bersoraklah syaitan.”

“Maka ketika itu akan hadirlah bayi-bayi terlarang, ada yang selamat tapi ramai yang dibuang, dari dosa zina kepada dosa membunuh pula”

“kesimpulannya, tidak ada istilah couple Islamic, kalau nak bercouple juga, lafazkanlah aku terima nikahnya dan bersedialah untuk menerima tanggungjawab, tapi kalau tak mampu, berpuasalah” aku mengakhiri jawapan dengan mengambil ibrah kepada hadis nabi yang menyuruh agar para pemuda berkahwin segera.

Sesungguhnya cinta hadir dengan komitmen dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan, cinta pada Allah menuntut kita menjadi hamba kepadanya, cinta pada Rasul menuntut kita taat dan patuh akan ajaran dan sunnahnya, cinta ibu bapa pada anak-anak menuntut pengorbanan membesar dan mendidiknya dengan penuh tanggungjawab, manakala cinta suami pada isteri menuntut komitmen dan tanggungjawab tertentu yang harus dipenuhi.

Cinta tanpa tanggungjawab dan komitmen hanyalah cinta palsu yang disulam indah oleh syaitan yang pandai menipu, berhati-hatilah, kerana fitnah yang paling besar bagi seorang lelaki adalah pada godaan wanita.