TRANSISI

Alhamdulillah, proses transisi biro tarbiah kepada lapisan kepimpinan baru hampir selesai, begitu juga dengan pewarisan amal ISMA South Australia kepada nafas baru yang lebih muda dan segar.

Ini bermakna, masa saya di sini hampir tamat, kini tiba masa untuk saya memberi fokus yang lebih kepada pengajian dan aktiviti dakwah umum yang banyak saya tinggalkan kerana lebih banyak terlibat dalam amal organisasi yang memerlukan banyak kehadiran ke mesyuarat dan kerja-kerja teknikaliti yang agak memakan masa.

Hampir tiga tahun di sini, terlalu banyak yang dipelajari, dimensi pemikiran saya berubah sama sekali, bukan sahaja dari cara menguruskan amal, tapi dari segi pandangan terhadap hidup dan bagaimana kita berinteraksi dengan masyarakat.

Terima kasih kepada murabbi-murabbi saya secara langsung atau tidak langsung di sini, terutamanya Dr Zaki, Br Hani, dan rakan-rakan dari ISMA Australia yang tidak pernah jemu berjuang untuk mendidik anak-anak muda bagi memahami dan mengamalkan ISLAM dalam kerangka yang lebih syumul.

Wah, menulis macam minggu depan dah nak balik, padahal ada berbulan-bulan lagi kat sini, insha Allah masa yang berbaki ini akan digunakan untuk menimba pengalaman-pengalaman baru baru membina dan mempersiapkan diri untuk mencurah bakti yang lebih besar nanti di tanah air.

Mungkin ini masanya untuk menulis beberapa projek penulisan yang tertangguh, ‘Yeay, Saya Muslim!’, ‘Diari PhD Sang Musafir’, ‘Membina Komunikasi Berkesan Suami Isteri’, dan ‘Berinteraksi Dengan Anak-Anak’.


Tapi pastinya, ada naskah tebal yang saya kena siapkan dahulu, ‘Exploring Social Media Adoption in Australian Local Government.’

KALIMAH ALLAH MILIK UMAT ISLAM!

Alhamdulilhah

Pada hari yang baik ini, mahkamah rayuan di Putrajaya telah memutuskan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh penerbitan pihak gereja untuk majalah The Herald.

Satu keputusan yang baik dan memihak kepada umat Islam. Boleh dikatakan kemenangan yang agak besar bagi umat Islam di Malaysia dalam bulan Zulhijjah ini.

Namun perjuangan belum berakhir, pihak gereja nampaknya masih tidak mengalah dan dari kenyataan wakil mereka tadi, dikatakan mereka akan terus membawa perkara ini ke mahkamah tinggi.

Sementara perkara itu berlaku, kita lafazkan dulu kalimah takbir dan tahmid. Moga Malaysia akan terus kekal menjadi tanahair Islam yang berdaulat.

Allahuakbar!

KALI PERTAMA BERHARI RAYA TANPA KELUARGA

Alhamdulillah,

Demam semakin kebah, walaupun masih ada perasaan hendak muntah-muntah, sakit tekak yang amat perit dan denyutan kepala yang begitu menganggu.

Tapi, alhamdulillah, segalanya bertambah baik, Khadijah juga tidak lagi muntah-muntah, kesihatan Aboh di Malaysia juga makin bertambah baik, mungkin hasil keberkatan Zulhijjah dan ziarah dari cucunya yang telah lama tidak ditemui.

Tahun ini nampaknya saya akan beraya hanya bersama Khadijah di Adelaide. Mungkin ini kali pertama saya menyambutnya tanpa kehadiran ibu bapa atau bersama isteri dan dua lagi anak. Sedih juga perasaannya.

Tambahan pula dengan kesibukan pengajian yang semakin mendebarkan, ditambah hujung bulan ini saya akan menghadapi Annual review yang akan menentukan kesinambungan pengajian saya di sini. Mood hari raya langsung tidak ada makna apa-apa.

Tiada juadah istimewa di rumah, mungkin sekadar bertamu di rumah kawan-kawan. Itupun mungkin tidak berkesempatan kerana padatnya jadual yang bakal dihadapi.

Walauapapun, apa yang lebih penting adalah untuk berpuasa esok ketika hari Arafah, banyakkan berdoa dan bertilawah, moga Allah akan mengampunkan segala dosa-dosa kita dan mencatatkan kita dalam daftar mereka yang bebas dari api neraka. Inshaallah.


SEBELUM KITA MENGELUH

"Lambatnya elaun nak masuk!" Keluh seorang pelajar. Berkerut dahinya melihat baki di dalam akaun berjumlah hanya RM 50.

"Sikitnya gaji, kerajaan memang kedekut, sudahlah harga barang naik, gaji tak naik-naik....!@##$%^&*(" Sumpah seorang pekerja bila melihat gajinya masuk.

Sebagai manusia, kita memang mudah resah dan keluh kesah. Bila resah, kita akan mengeluh dan menyumpah, apatah lagi bila orang lain gagal menunaikan hak mereka kepada kita tepat pada waktunya atau kurang dari yang sepatutnya.

Tapi, bila kita gagal menunaikan apa yang sepatutnya kita langsaikan kepada orang lain, bagaimana sikap kita? Lebih penting lagi, bagaimana sikap kita bila kita lambat atau gagal menunaikan apa yang sepatutnya kita tunaikan kepada DIA yang mencipta kita.

Bukan tidak boleh mengeluh, bukan hendak menyuruh 'bersyukur' sahaja dengan apa yang ada, tapi sebelum kita mengeluh, sebelum kita mengeluarkan kata sumpah dan seranah, lihat dulu bagaimana kita dengan orang lain, lihat dulu bagaimana kita dengan Allah, kemudian sama-sama kita refleksi dan ubah diri untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Kita usahakan perubahan dengan melihat diri kita terlebih dahulu.



"

Menulis Tesis dan Berniaga Dari Melbourne

Lama tidak mencoret di sini.

Banyak kisah pendek dan khabar berita hanya sempat saya nukilkan di Facebook. Selebihnya saya bertarung dengan masa dan keutamaan untuk menulis panjang di blog.

Maaf buat yang selalu singgah tapi pulang kecewa, saya sendiri kadang-kadang malu hendak membuka laman blog sendiri kerana jarangnya update bermanfaat yang dapat dikongsikan.

Jika diikutkan, sangat banyak yang masih tersimpan di kepala menunggu masa untuk dicoretkan di dalam blog dan harapnya dapat diabadikan sebagai sebuah buku, kisah pendidikan anak-anak, cabaran hidup di Australia, kisah perjalanan PhD, isu politik semasa, rencah hidup berkeluarga, tarbiah dan dakwah dan macam-macam lagi.

Harap Allah izin untuk catatan-catatan di alam minda berpindah ke alam maya dan dapat dibumikan di alam nyata. Satu hari nanti, ye, moga hari-hari itu akan hadir.

Inshaa Allah.

Oh ye, hari ini saya menulis catatan ini dari perpustakaan RMIT di Melbourne. Menulis tesis sambil mencari basikal untuk diniagakan. Sambil menyelam sambil minum air orang kata.

Apa boleh buat, kos hidup yang tinggi memaksa saya untuk berniaga bagi menampung sedikit perbelanjaan yang kian meningkat. Mungkin Melbourne menjanjikan pulangan yang lebih lumayan. Mudah-mudahan.

Ada masa saya kongsikan kisah perniagaan basikal saya nanti!