Apa Itu Cinta?

Saya memerhatikan wajah kedua-dua anak saya yang sedang tidur. Sungguh damai wajah mereka. Wajah yang suci tanpa dosa memang mengundang damai bila memandangnya. Saya mengambil masa yang lama merenung dan kemudian mencium dahi kedua-dua mereka. Setelah itu perlahan saya membisikkan ke telinga masing-masing,

“Besar nanti jadi anak yang solehah ye, taat pada Allah, ikut suruhan Rasulullah dan taat juga pada ayah dan ibu.”

Antara perkara yang sering saya buat kepada anak-anak adalah berpesan kepada mereka sejurus sebelum mereka tidur juga pada waktu mereka baru sahaja melelapkan mata. Pesanan-pesanan pada waktu begini dikatakan oleh pakar motivasi amat berguna untuk membentuk jati diri anak-anak kerana ia akan melekat di dalam minda bawah sedar mereka.

Selesai urusan dengan anak-anak, saya menutup lampu bilik dan memasang alat pemanas kerana suhu masih lagi sejuk walaupun musim dingin telah berakhir.

Saya tidak terus menuju ke bilik, sebaliknya saya duduk sebentar di atas sofa melepaskan lelah mencari kekuatan bagi membaca jurnal dan menulis bahagian metodologi penyelidikan. Saya mencapai majalah Solusi di atas meja terlebih dahulu untuk membina fokus, namun bait-bait tulisan kelihatan seperti cacing yang menari-nari membuatkan mata ingin terkatup segera.

Ternyata saya tidak mampu untuk fokus kerana mata terlalu mengantuk. Nampaknya saya terpaksa menangguhkan seketika hasrat untuk membaca jurnal malam ini, harapnya esok saya akan punya kesempatan.

Saya meletakkan majalah Solusi dan termenung seketika. Teringat kalimah cinta yang kali pertama saya lafazkan kepada isteri sewaktu berbulan madu dahulu. Setelah 7 tahun berkahwin dan diuji dengan bermacam-macam perkara, saya semakin memahami akan makna cinta yang sebenar.

Cinta itu bukan sekadar rasa sayang antara lelaki dan perempuan.

Cinta itu juga bukan hanya pada memberi hadiah harijadi, mengirimkan kad hari raya dengan bait-bait kata yang puitis mahupun pemberian bunga pada hari-hari istimewa.

Cinta itu juga, pastinya bukan keluar bersama pada setiap hujung minggu, setia menghantar sms pada setiap pagi bertanyakan khabar, atau bergayut berjam-jam di corong iPhone.

Itu bukan cinta, tapi buaya, jika ia dilakukan sebelum lafaz akad “Aku Terima Nikahnya!”.

Tapi, cinta itu adalah tanggungjawab.

Cinta itu hadir bersamanya tanggungjawab. Tidak ada cinta tanpa tanggungjawab.

Cinta pada Allah menuntut kita untuk taat segala suruhan dan perintahnya.

Cinta pada Rasul, menuntut kita untuk berkorban dan menjadi pengikutnya yang setia.

Cinta pada isteri pula, hadir bersamanya tuntutan untuk mendidiknya dengan penuh tanggungjawab, mengajarkan mereka urusan-urusan agama. Cinta itu juga pada sabarnya suami dalam memahami perasaan isteri, menghormati keluarga mertuanya, menjaganya dengan setia ketika isteri dirundung kesakitan dan menanggung makan dan minumnya selagi tidak berpisah jasad dan nyawa.

Cinta pada suami pula, menuntut isteri untuk setia menghiburkan hatinya, menjadi teman setia dikala duka atau gembira. Mengingatkannya jika terlupa. Menjaga rahsia dan aib suaminya dengan penuh waspada dan juga pada menjaga maruah dan rumahtangga tatkala suami keluar bekerja.

Cinta pada anak-anak, menuntut kita untuk mendidik mereka dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab, mengajarkan mereka menjadi insan berguna pada agama, bangsa dan negara dan agar mereka tidak menjadi bahan bakar api neraka.

Cinta itu adalah tanggungjawab dan ia akan dibuktikan dengan pengorbanan, bukan sekadar lafaz sayang. Itulah cinta pada pandangan saya.

  

No comments:

Post a Comment