Glenelg jetty, credit to: Mark Piovesan Photography |
“Ayah, anjing tu beraklah, eeeeee,” Humaira’ menarik perhatian saya dan isteri saat kami sedang berjalan
tengahari itu di Mosley Square untuk ke Pantai Glenelg.
Saya mengalihkan pandangan ke arah lelaki muda berkulit putih yang tinggi lampai itu dan terlihat anjingnya sedang menyelesaikan urusan ‘hajat besar’ di tengah lalu lalang orang ramai di Mosley Square berhampiran pantai Glenelg. Orang lain hanya lalu dan buat tidak peduli sahaja.
“Aduhai, habislah tercemar Pantai Glenelg yang bersih ini,” saya mengomel sendiri, baru tadi saya dan isteri saling memuji keindahan dan kebersihan pantai Glenelg yang baru kali pertama kami kunjungi ini.
“Jomlah kita jalan ke arah jeti, tak senonoh betul lelaki itu dan anjingnya, kasihan nanti kalau ada orang yang terpijak tahi itu nanti.” Saya mengajak mereka semua untuk meneruskan perjalanan ke arah sebuah jeti panjang menghala ke laut lepas yang menjadi kebanggaan pantai Glenelg selain menara jamnya yang kelihatan seperti menara jam di bangunan Sultan Abdul Samad di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
“Eh, sekejap abang, cuba tengok apa lelaki tu buat.” Isteri saya yang sedang menolak Khadijah dalam ‘stroller’ menarik perhatian saya yang baru hendak memulakan langkah.
“Dia bersihkan tahi anjing itu lah ayah!” Humaira’ mendeskripsikan perbuatan lelaki itu yang membersihkan sebersih-bersihnya najis haiwannya dengan sehelai kain khas yang dibawa dan kemudian menaburkan kawasan itu dengan pasir yang diambilnya di tepi pantai sehingga hampir tiada langsung kesan najis haiwannya yang tinggal.
“Oh!” saya kehilangan kata-kata, cemburu dengan keprihatinan lelaki itu terhadap kebersihan. Teringat pada situasi di banyak tempat di Malaysia yang jauh berbeza. Jika di tempat-tempat perkelahan, sampah yang dibawa oleh pengunjung dibiarkan bertaburan merata-rata, padahal bukan tidak ada tong sampah yang disediakan. Jangan najis haiwan, najis manusia di dalam lampin pakai buang pun kadang-kadang dibiarkan hanyut di sungai dalam keadaan yang sungguh meloyakan.
Begitu juga setiap kali selepas pasar malam atau pertandingan memancing di tasik, bertaburanlah sampah pelbagai rupa dan jenis yang akan dibersihkan oleh pekerja Majlis Perbandaran, tidak ada keprihatinan oleh kebanyakan orang untuk sekurang-kurangnya membersihkan sampah masing-masing. Jauh lagilah dari berfikir untuk kitar semula.
“Ayah, bersihnya pantai ni kan, satu sampah pun tak ada, seronoknya, tak macam di Malaysia.” Humaira’ berkata jujur, meluahkan perasaannya dan sebenarnya itu juga yang dirasai dalam hati saya sekarang.
“Betul tu Humaira’, sebenarnya sayang, dalam Islam, Rasulullah mengajar kita untuk menjadi orang yang sangat suka akan kebersihan.” Jelas saya kepadanya, untuk mengelakkan timbul salah faham nanti tentang situasi di Malaysia yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam.
“Di Malaysia, ramai orang Islam, tapi tak mengikut ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh, sebab itulah banyak tempat yang kotor dan banyak sampah. Orang Islam yang baik, tidak akan membiarkan tempat yang didudukinya kotor dan banyak sampah, sebab Rasulullah ajar bahawa kebersihan itu adalah sebahagian dari iman.” Saya menjelaskan lagi kepadanya, tentang hakikat ajaran Islam yang sebenar.
Dalam dunia hari ini, ramai yang salah faham tentang Islam, kerana melihat kepada kelaku penganutnya, pernah seorang yang baru kembali kepada Islam mengatakan, “Aku bersyukur kerana aku terlebih dahulu kenal Islam sebelum kenal penganutnya, jika aku kenal akan penganutnya terlebih dahulu, mungkin aku tidak akan Islam seperti hari ini.” Kerana, agama yang sempurna, hanya akan jadi sempurna bila ada pendukung yang benar-benar beriltizam untuk menegakkan setiap inci ajarannya.
“Faham Humaira’?” Saya bertanya kembali kepadanya, kerana sepertinya dia leka melihat pemandangan laut yang cukup menawan dari atas jeti. Sesekali angin musim luruh bertiup dingin, seakan memberi khabar bahawa tidak lama lagi akan datang musim dingin yang menguji.
“Faham ayah,” jawabnya sambil matanya dihalakan ke arah langit melihat kapal terbang yang baru berlepas dari lapangan yang tidak jauh dari Glenelg. Teringatkan Malaysia barangkali.
“Seperkara lagi Humaira’, kalau kita nak Malaysia jadi bersih dan cantik macam di sini, kita tak boleh harapkan orang lain, kenalah mula dari diri kita sendiri. Jadi, balik Malaysia nanti, jangan buang sampah merata-rata, kalau jumpa sampah kita masukkan dalam tong sampah, kalau ada kawan yang buang sampah merata-rata kita kena tegur. Untuk mengubah kita harus berubah dulu.” Sedikit tinggi saya menjelaskan kepadanya, sesuai dengan perkembangan mindanya yang semakin matang.
Perubahan harus bermula dari dalam diri, untuk mengislahkan umat, kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk melakukannya bagi kita, kitalah yang harus bersikap proaktif dan melakukan perubahan. Tidak guna retorik kosong mengutuk kesalahan orang lain tanpa amal dan bakti untuk berbudi kepada pengislahan umat yang sedang rosak.
Jika kita mahu Malaysia bersih, maka mulakan kebersihan itu dengan diri kita sendiri, jika kita mahu masjid penuh ketika solat subuh, maka mulakan dengan meletakkan diri kita pada saf pertama sebelum qamat dikumandangkan. Perubahan bermula dengan diri kita dan kemudian ajaklah orang lain untuk bersama-sama melakukannya.
“Boleh begitu Humaira’? Saya bertanya lagi ketika kami telah sampai di penghujung jeti.
“Boleh, insyaallah,” jawab Humaira’.
“Ok, macam itulah baru TERBAIKKKK!”
No comments:
Post a Comment