Fikrah Isma Fikrah Islam

Tulisan ini telah dipublish dalam www.ismakedah.wordpress.com

untuk pengetahuan anda semua ISMA adalah singkatan untuk Ikatan Muslimin Malaysia, sebuah NGO yang bergerak aktif untuk menyebarkan kefahaman Islam yang sahih di kalangan masyarakat dan mendidik generasi baru ummah untuk menerajui kebangkitan Islam pada masa akan datang.

Apa kena mengena ngan aku lak, eh...aku ni ahli ISMA Cawangan Kedah merangkap setiausaha biro pembangunan belia atau lebih popular dengan nama PEMBINA

hayatinya!

*********************************************************************************
Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa yang dibawa oleh ISMA, nak bawa ke mana dan nak bawak Islam yang macamana? Bak kata orang dakwah, ISMA ni bawak fikrah apa?

Sebelum kita memahami fikrah ISMA ni fikrah apa, ada baiknya kita memahami kepentingan kefahaman Islam yang sahih terlebih dahulu.

Maksud memahami Islam dengan kefahaman yang sahih atau sejahtera adalah memahami Islam seperti mana yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Kefahaman Islam yang sahih ini diibaratkan oleh Ibn Qayyim ibarat cahaya yang dicampakkan kedalam hati hambanya sehingga dia mampu untuk membezakan antara yang benar dengan yang batil.

Kegagalan untuk memahami Islam dengan rohnya yang sebenar akan membuahkan natijah yang akan merosakkan Islam dengan sehebat-hebatnya. Kegagalan kefahaman ini telahpun dibuktikan dengan wujudnya golongan pelampau seperti golongan Khawarij yang terlibat dalam pembunuhan sahabat, golongan Muktazilah yang menyeleweng dan dalam zaman yang terkedepan ini kita dapat lihat contoh Jemaah kafir mengkafir dan golongan Arqam yang nampak hebat tetapi hakikatnya menyeleweng. Itu contoh ekstrim yang berbeza, ada pula ekstrim yang memahami Islam hanya setakat ritual-ritual Ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Ada pula pemahaman yang melihat halal dan haram hanya pada arak, judi dan bangkai sahaja. Bila masuk masalah perbankan dan kewangan, ramai daripada umat Islam hari ini yang tewas. Islam hari ini tidak dilihat oleh kebanyakan umatnya sebagai satu sistem yang mengurus kehidupan manusia, tetapi dilihat sebagai komponen-komponen yang terpisah dan tiada kaitan antara satu sama lain.

Apa buktinya yang Islam ni satu sistem kehidupan yang lengkap? Anda boleh rujuk surah An Nahl ayat 89 :

”Kami turunkan kepadamu Al Quran menjelaskan segala sesuatu sebagai petunjuk serta rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang yang berserah diri”

Begitu juga ayat dari surah Al Baqarah ayat 208 :

”Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya”

Dan kesempurnaan Islam ini dapat kita lihat buktinya dalam surah Al Maidah ayat 3 :

” Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu untukmu…”

Definisi Islam yang lengkap kontemporari ini dinukilkan oleh Imam Hassan Al Banna dalam Risalah Taalim dengan cukup ringkas dan padat :

”Islam adalah agama yang syumul, mencakupi seluruh bidang kehidupan. Islam adalah negara dan tanahair atau pemerintah dan umat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah sepertimana ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih.”

Kalau kita tengok betul-betul definisi Islam syumul oleh Imam Hassan Al Banna memang cantik dan lengkap. Islam ini tidak ditegakkan dengan komponen yang terpisah-pisah, cuba lihat ayat yang akhir tu ….sepertimana ia adalah akidah yang benar dan ibadah yang sahih. Maknanya memahami dan menegakkan Islam dengan caranya yang lengkap adalah sama pentingnya dengan masalah akidah dan ibadah. Menegakkan daulah dan membebaskan tanahair Islam adalah sama penting dengan akidah dan ibadah, membangunkan satu sistem perekonomian Islam yang bebas dari unsur riba dan tamak juga sama penting dengan akidah dan ibadah dan begitulah seterusnya. Sudah sekian lama umat Islam terjebak dalam penyakit sekularisma yang membunuh jiwa. Kini tiba masanya untuk umat Islam kembali bangkit menerajui alam ini dengan membawa rahmat dan keadilan melalui implementasi sistem Islam yang lengkap.

Apa yang cuba dibawa oleh Isma tidak terpisah dari pengertian diatas. Kami sedaya upaya kami cuba untuk membawa pengertian Islam yang lengkap kepada masyarakat, mendidik diri dan keluarga kami seterusnya mengajak masyarakat agar kembali kepada Islam yang sebenar, seperti mana ia kali pertama diturunkan kepada Rasulullah. Dakwah Isma adalah dakwah Islam, inilah fikrah kami dan fikrah kami adalah fikrah Islam.

Mohd Hisham Mohd Sharif

S/U Pembina Kedah

No comments:

Post a Comment