Bosan?

 “Bosannya!!! Lambatnya masa berlalu!!!”

Laung seorang pelajar yang berada dalam ‘friendlist’ saya di Facebook ketika musim cuti baru bermula.

Saya membacanya dengan mata yang tidak berkedip. Bukan seorang, tapi boleh dikatakan beberapa orang juga yang memaparkan status yang membawa maksud lebih kurang sama.

Hampa, kasihan, cemburu.

Teringat saya kepada sabda baginda dalam hadis berikut:

“Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu yaitu nikmat sihat dan waktu lapang." (HR Bukhari)

The way we employ the surplus hours, after provision has been made for work, meals, and sleep, will determine if we develop into mediocre or powerful people.”credit: bubbasmith.net
Memang benar, golongan pelajar, tidak kira pelajar sekolah atau universiti dalam dan luar negara adalah antara golongan yang paling banyak mempunyai waktu yang terluang kerana masih belum disibukkan dengan komitmen kerjaya dan keluarga, dan nasihat baginda dalam hadis di atas, saya kira amat relevan dengan golongan ini, walaupun ianya juga relevan kepada mereka yang telah bekerja dan berkeluarga.

Menonton ‘movie’ dan siri televisyen (Siri Drama Korea, How I Met your Mother, dsb dsb), tidur hingga tengahari, melayan jaringan sosial (fb, twitter dan sebagainya) dari pagi hingga petang tanpa henti, bermain game strategi yang memakan masa yang lama, membaca novel-novel cinta yang tiada pengisian ilmiah di dalamnya, dan lepak di pusat membeli belah tanpa ada tujuan yang jelas adalah antara aktiviti memenuhi musim cuti yang jika dilakukan dengan berlebihan, jelas ianya adalah membuang masa.

Apatah lagi, jika ia dilakukan bersama dengan teman lelaki atau wanita dengan penuh mesra. Bukan sahaja dapat dosa membuang masa, tapi dipakejkan pula dengan dosa zina mata, hati dan telinga.

Membuang masa, ibarat membuang sesuatu yang lebih berharga dari emas. Emas boleh dicari, tapi masa yang telah berlalu tidak akan datang kembali.

Masa adalah modal kehidupan, jika sebahagian besar masa lapang dalam usia muda dihabiskan untuk aktiviti-aktiviti seperti yang dinyatakan di atas, maka tidakkah kita membazir usia muda kita yang datang hanya sekali. Tidakkah kita merasa rugi?

"Manfaatkanlah lima kesempatan sebelum datang kesempitan. Manfaatkan usia mudamu sebelum kamu tua, manfaatkan sehatmu sebelum sakit, gunakan kekayaanmu sebelum kamu miskin, gunakan waktu lapangmu sebelum kamu sibuk dan manfaatkan hidupmu sebelum kamu mati." (HR al-Hakim) 

Banyak lagi sebenarnya aktiviti bermanfaat yang boleh dilakukan untuk memanfaatkan masa lapang. Apa yang penting, bergeraklah untuk memenuhi masa lapang atas asas untuk memperbaiki diri dan menjadikan segala aktiviti sebagai ibadah kepada Allah. Antara aktiviti yang boleh dilakukan pada musim cuti yang padanya banyak waktu yang terluang adalah seperti:

1.    Menghafaz beberapa surah yang penting dari Al Quran seperti surah Al Kahfi dan Surah Yaasin atau Juz 29 dan 30. Tetapkan masa setiap hari samada selepas solat Subuh atau selepas Maghrib sementara menanti waktu Isya untuk melakukan aktiviti hafalan.

2.    Mengkaji dan menghafaz beberapa hadis yang mudah dari kumpulan hadis-hadis Rasulullah S.A.W. Kitab Hadis 40 tulisan Imam Nawawi mungkin boleh menjadi rujukan utama.

3.    Meluangkan masa untuk mempelajari ilmu-ilmu Islam. Dalam zaman kepantasan dan kecanggihan teknologi, banyak kuliah-kuliah ilmu yang boleh di dapati secara online. Pelajarilah juga asas Bahasa Arab dan asas ilmu-ilmu seperti fiqh dan tafsir. Jika berada di Malaysia, luangkanlah masa untuk menghadiri kuliah-kuliah ilmu yang dianjurkan oleh masjid atau mana-mana NGO. Paling tidak, luangkanlah masa untuk mendengar kuliah tafsir Ustaz Zahazan setiap pagi dan Hayya Bil Arabiyyah oleh Ustaz Rushdi di Radio IKIM.

4.    Mempelajari kemahiran-kemahiran baru seperti kemahiran grafik, pengaturcaraan aplikasi, penulisan kreatif, bahasa inggeris dan sebagainya. Jangan mudah berpuas hati dengan kemahiran kita yang sedia ada kerana teknologi bergerak dengan amat pantas. Masa lapang yang ada, amat baik jika digunakan untuk mempelajari kemahiran-kemahiran ini. Tetapkan objektif dan setakat mana kemahiran ingin dipelajari.

5.    Meningkatkan stamina dengan mengiltizamkan diri dengan sukan seperti renang, jogging dan futsal. Cuma jangan terlalu larut hingga lewat petang atau lewat malam hingga mengabaikan waktu solat.

6.    Melakukan aktiviti lasak seperti panjat gunung, berkhemah dan mungkin berbasikal ke tempat-tempat yang menarik. Cuma pastikan yang segalanya dilakukan dalam batas syara’. Campur lelaki dan perempuan kira tak aci.

Selain dari aktiviti-aktiviti yang disenaraikan di atas, banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan. Ada juga yang memilih untuk bekerja bagi menambah pendapatan atau memulakan perniagaan kecil-kecilan. Itu juga aktiviti yang terpuji, cuma jangan terlalu leka mencari wang siang dan malam hingga tiada masa untuk aktiviti lain.

Peruntukkan juga masa untuk membangunkan diri kerana masa lapang ketika cuti sebegini sukar didapati selepas berkerjaya dan berkeluarga.

Kesimpulannya, rancanglah masa lapang dengan bermanfaat, sediakan jadual dan rancang agar masa lapang tidak berlalu begitu sahaja tanpa ada penambahbaikan pada diri. Jika mempunyai iPhone atau iPad, banyak aplikasi yang boleh digunakan untuk membantu menyediakan perancangan hidup yang lebih sistematik seperti lifeplanner dan springpad. Cuma perlu berdisplin untuk mengikuti apa yang telah dirancang.

Kerana akhirnya, setiap detik waktu dari usia kita, tidak kira tua atau muda, kita akan ditanya oleh Allah S.W.T tentang kemana kita menghabiskannya.

"Belum lagi kedua kaki seorang hamba bergerak pada hari kiamat, ditanyalah tentang usianya, dihabiskan untuk apa; tentang ilmunya, digunakan untuk mengerjakan apa; tentang hartanya, diperoleh dari mana dan dibelanjakan untuk apa; tentang badannya, digerakkan untuk apa." (HR Tirmidzi). 











1 comment:

  1. salam

    saya nak tanya,
    salah ke menonton movie korea?
    cerita mereka best..dan banyak menyentuh hati.

    ReplyDelete