Tak sampai hati nak letak gambar babi, saya letak ajelah gambar piggiebank, jadilah...(credit : creditcardcompare.com.au) |
Apa yang Humaira’ belajar di sekolah tadi?” saya memulakan bicara malam selepas solat Maghrib berjemaah di rumah.
“Takde apa-apa,” dia menjawab malas.
“Hai, takkanlah tiada apa-apa, punyalah lama duduk di sekolah.” Soal saya kembali, tidak puas hati.
“Entahlah, lupa lah ayah,” jawabnya dengan lebih malas. Kadang-kadang moodnya memang begitu, ada ketikanya tanpa ditanya dia akan bercerita tanpa henti, tapi kalau datang anginnya, soalan yang ditanya hanya dijawab dengan beberapa patah kata.
“Humaira’ tak nak cerita dekat ayah ke yang Humaira’ pergi ‘farm’ tadi?” sampuk isteri saya yang sedang melipat telekung. Rupanya dia telah bercerita pada ibunya sebelum ini, mungkin dia malas hendak mengulang cerita kepada saya agaknya.
“Oh, ada ‘farm’ ke kat sekolah?” saya bertanya penuh ingin tahu. Tidak pula saya tahu sebelum ini ada kebun kecil di sekolahnya.
“Ada, ada, tadi kami semua pergi ‘farm’, tengok binatang” Kali ini butir bicaranya kedengaran lebih ceria.
“Iye ke, apa yang Humaira’ jumpa dekat ‘farm’ tadi?” Saya bertanya lagi.
“Ada ayam, ada biri-biri, ada burung, ada Turkey,” jelasnya satu persatu.
“Hmm, lagi, ada binatang apa lagi?” saya terus bertanya kerana intonasinya seakan berhenti pada wakaf yang tidak kena.
“Ada babi.” Jawab Humaira’, tapi kali ini dengan suara yang sedikit berbisik.
“Haa, ada babi ke?” Saya menunjukkan riak wajah terkejut walaupun sebenarnya tidak.
“Iye, ada ayah.” Jawabnya lagi dengan nada berbisik, entah mengapa agaknya.
“Humaira’ pegang ke babi tu?” Saya bertanya meminta pengesahan, kerana jika memegang atau terpegang, terpaksalah saya keluar mengambil segenggam tanah di luar untuk proses samak.
“Taklah, Humaira’ tengok jauh-jauh je sebab masa tu babi tu kencing.” Hurainya tanpa berselindung menyebabkan tawa saya dan isteri meletus mencetus hairan pada Khadijah yang sedang leka bermain di atas sofa.
“Aduhai, kasihan babi tu ye, kena gelak dengan kita. Tak mengapalah Humaira’, tapi Humaira’ tahu tak kenapa kita tak boleh makan dan pegang babi?”
“Sebab Allah tak bagi lah,” Jawabnya ringkas, tapi padat dan tepat.
“Macamana Humaira’ tahu Allah tak bagi?” saya cuba memprovokasi.
“Sebab ayah dengan ibu beritahu.”
“Tapi, Humaira’ tahu ke macamana ayah boleh tahu?” Saya menyambung soal jawab untuk membuat mindanya berfikir bahawa kebenaran itu harus dicari dan rasa percaya itu mestilah berasaskan kebenaran yang diyakini bukan taklid buta tanpa mengkaji.
“Hmmm, macamana ayah?” Humaira’ mengalah.
“Mestilah melalui ini!” saya mengangkat terjemahan Al Quran.
“Dalam Al Quran inilah Allah mengajar kita semuanya. Al Quran ini bukan kita perlu pandai baca sahaja, tapi pada masa yang sama kita kena faham apa yang Allah nak sampaikan di dalamnya.”
“Kalau kita baca sahaja Qur’an, tapi tak faham, tak sempurnalah sayang. Sebab, Allah beri kita Al Quran, bukan hanya untuk kita baca, tapi supaya kita faham dan kita dapat buat apa yang Allah suruh di dalamnya.”
“Sebab itu kita kena ada terjemahan, supaya kita tahu apa yang Allah ingin cerita pada kita.” Jelas saya tentang khasiat Al Quran yang sebenarnya iaitu sebagai panduan hidup manusia, bukan hanya untuk dibaca dan dipertandingkan dalam musabaqah tahunan.
Saya membelek belek lembaran Quran terjemahan mencari ayat dari surah Al Maaidah tentang pengharaman umat Islam untuk memakan babi dan binatang-binatang lain yang tidak disembelih dengan nama Allah.
“Haa, cuba Humaira’ tengok ini.” Saya menunjukkan kepadanya maksud dari ayat ke 3, surah Al Maaidah.
“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging hewan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa karena kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
“Haa, di sinilah Allah beritahu kita tak boleh makan babi. Selain dari babi, binatang yang kita tak boleh makan adalah binatang yang mati tanpa sempat kita sembelih. Sembelih ni, macam yang kita lihat di UUM masa korban tahun lepas. Ingat tak?”
Sebelum sempat dia menjawab, saya menyambung lagi.
“Jadi, lembu, kambing dan ayam yang bukan orang Islam sembelih dan juga dia mati bukan sebab kena sembelih, macam mati kena langgar kereta ke, semuanya tak halal di makan.” Terang saya panjang lebar.
“Ooooo” Humaira’ mengangguk panjang.
“Cuma Humaira’, binatang yang tinggal di lautan macam ikan, udang, Kerang dan sotong, tak perlu kita sembelih.”
“Kenapa pula ayah?” Tanyanya lagi, soalan yang telah saya jangka.
“Sebab, binatang-binatang itu tiada darah macam ayam, lembu, kambing dan unta dan juga tiada tengkuk untuk di sembelih, dan yang lebih penting, Allah sebut pada kita bahawa kita boleh makan ikan di laut yang sedap-sedap semuanya.”
“Humaira’ nak tahu tak di mana Allah sebut pada kita bahawa kita boleh makan ikan di laut?” saya bertanya lagi untuk mewujudkan interaksi antara kami dan Al Quran.
“Nak, nak.”
“Ok, mari kita cari,” saya mengingat-ingat di mana letaknya ayat tentang bolehnya makan ikan di laut. Jika tidak silap ada beberapa tempat, dan yang paling saya ingat dan suka adakah ayat dari surah Fathir yang banyak membincangkan tentang kehebatan ciptaan-ciptaannya.
“Dan tiada sama (antara) dua laut; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain asin lagi pahit. Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari karunia-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (Fathir: 12)
“Haa, inilah ayatnya!” Saya menunjukkan isi dari ayat itu kepadanya dan dia kemudian membacanya dengan kuat.
“Haa, macamana, faham tak?” Tanya saya selepas dia selesai membacanya.
“Faham, faham, faham” Jawab Humaira’ dengan gaya Upin dan Ipin yang amat diminatinya.
“Jom makan, nanti sejuk pula lauk ni.” Panggil isteri saya dari dapur menangguhkan seketika majlis ilmu tidak formal antara saya dan Humaira’ petang itu.
Al Quran, bukan hanya kitab untuk kita baca pada setiap malam Jumaat dan juga bukan hanya untuk dilagukan dan dihafaz tanpa diketahui makna dan isinya. Dari kisah babi di sekolah, hingga cara berinteraksi dengan Al Quran, semoga sedikit interaksi kami dengan Al Quran petang itu akan membuka mindanya bahawa Al Quran bukan hanya untuk menghalau hantu seperti banyak yang dilihat dalam filem seram di televisyen. Tetapi Al Quran adalah cahaya yang Allah hantarkan kepada umat manusia.
Ia adalah manual lengkap untuk mengurus kehidupan manusia di atas muka bumi agar manusia hidup berpandukan paksi tuhan yang tertinggi, bukan demokrasi dan hak asasi yang hanya akan menjadikan manusia hamba kepada nafsu dan egonya sendiri.
Alhamdulillah.. Tq so much for sharing. Kawan non muslim saya baru tanya soklan ni tadi...terkedu saya nak jawab depan international students yg lain. Saya jawab secara general sahaja...Hehehe...Syukran again...
ReplyDeleteAlhamdulillah, moga bermanfaat, kadang-kadang, ada yang berkata, Allah haramkan babi sebab kotor dan macam-macam sebab saintifik yang tidak dapat disahkan, tapi nanti ada yang bertanya pula, kalau babi tu dibela dalam kandang yang bersih, macamana pula? dan katalah kajian tu kajian yang tak tepat, lagi haru...seeloknya, kita katakan sahaja, bagi orang Islam, babi diharamkan sebab Allah tak beri kita makan, dan sebenarnya banyak lagi makanan lain yang halal dan boleh dimakan.
DeleteKenapa Allah tak bagi?, sebab dialah yang mencipta kita, dialah yang mencipta babi dan dialah yang mencipta segalanya, mungkin ada rahsia dan hikmah yang manusia belum mengetahuinya.