Mengapa Allah Ciptakan Humaira'?


“Bila nak sampai ni ayah? Berapa kilometer lagi ni?” Humaira’ mengulang soalannya yang entah kali ke berapa, menyebabkan saya dan isteri hampir hilang sabar. Perjalanan yang jauh begini dari Kedah ke Kuala Lumpur dengan panas terik yang membahang di luar sana ditambah pula dengan soalan-soalan yang diulang-ulang berpuluh-puluh kali memang cukup memanaskan jiwa.

Kepala saya ligat memikirkan jalan keluar dari soalannya, telah pelbagai cerita yang saya ceritakan, Maher Zain, Mesut Kurtis dan Sami Yusuf juga telah puas berdendang, namun perjalanan ternyata masih panjang. Adik Khadijah pula masih lena tidur dibelakang, keletihan agaknya bangkit awal dan berlari tanpa henti sebelum kami bergerak tadi. Itulah yang menambahkan lagi kebosanannya, tiada teman untuk bermain bersama.

“Humaira’, mari kita main satu permainan, namanya ABC,” saya mengajaknya untuk bermain pula, cuba melupakannya akan keresahan disepanjang perjalanan. Dalam kepala saya teringat akan permainan yang saya dan kawan-kawan mainkan bersama dahulu tika di sekolah rendah. Namun kami budak lelaki bermain dengan lebih ganas, siapa yang gagal menjawab akan dijentik sekuat hati oleh setiap orang hingga ada yang merah jarinya akibat dijentik.

“Bila ayah cakap ABC, Humaira’, ayah dan ibu kena keluarkan beberapa jari, dan kemudian Humaira’ harus mengira jari tersebut dengan huruf abjad. Bila Humaira’ dah sampai kepada abjad yang terakhir, contohnya M, maka setiap orang harus sebut benda yang bermula dengan huruf M.” Saya menerangkan peraturan permainan mudah yang dapat membina minda.

“Mari kita cuba dahulu.”

“ABC!” saya memulakan demo permainan. Masing-masing kami mengeluarkan jari, dan kemudian saya meminta Humaira’ mengiranya satu persatu dengan huruf abjad.

“A,B,C,D,E,F,G,H,I,J” kiraannya berhenti pada huruf J.

“J, apa benda yang bermula dengan huruf J?” saya memulakan soal.

“Jagung!” Humaira’ menjerit menjawab.

“Jarum...” Isteri saya pula menjawab.

“Jambu....”dan akhirnya saya menjawab.

“Ha begitulah permainannya, saya menerangkan, cuma setiap perkara yang kita sebutkan hendaklah diterangkan fungsinya, contohnya Jarum adalah untuk menjahit pakaian, boleh begitu?” saya menambah rencah permainan untuk membawa permainan ini kepada satu kesimpulan penting nanti. Semua bersetuju dan kami pun memulakan permainan.

“A,B,C!”

Pengiraan berhenti pada huruf K.


“K, apa benda yang bermula dengan huruf K?” saya bertanya pada semua.

“K untuk kereta,” saya menjawab sendiri soalan tadi.

“Kambing!” Humaira’ bersorak gembira kerana berjaya menjawab.

“Kaki” Isteri saya pula menjawab.

“Kereta diciptakan untuk kegunaan kita pergi ke tempat yang jauh seperti pulang ke kampung dan pergi ke Alor Setar.” Saya menerangkan jawapan saya tadi.

“Kambing pula untuk apa Humaira’?”

“Kambing....hmmm hmmmm...entahlah ayah, Humaira’ tak tahu.”

“Haha, kambing sudah tentulah untuk kita makan!” saya menjelaskan sambil tertawa kecil. Terbayang keenakan kurma kambing masakan Haji Azizan di belakang Sekolah Menengah Jitra. Kemudian giliran isteri saya menerangkan fungsi kaki.

Pusingan seterusnya, kiraan berakhir pada huruf P, saya memilih pisang, manakala Humaira’ memilih pokok, isteri saya pula memilih paku.

“Ok, Mengapa Allah jadikan pokok?” saya bertanya kepada Humaira’ setelah melihatnya terkebil-kebil memikirkan fungsi pokok.

“Untuk makan ke ayah?” dia mengulang jawapan kepada persoalan awal tadi.

“Bukanlah sayang, walaupun dari pokok ada buahnya yang boleh dimakan dan ada daunnya yang kita boleh buat ulam atau sayur, tapi paling penting pokok Allah ciptakan untuk keluarkan oksigen. Oksigen ini, kita gunakan untuk bernafas. Kalau tiada oksigen, maka kita tak akan dapat bernafas dan bila tak dapat bernafas maka kita akan mati.”

“Bijak tak Allah ciptakan pokok untuk kita bernafas?” saya menoleh ke belakang sedikit, sambil memicit-micit jemarinya yang lembut.

“Bijak-bijak,” dia menjawab penuh ceria.

Pusingan seterusnya berlangsung rancak, dan setiap kali itu jugalah saya dan isteri akan menerangkan tentang kegunaan setiap benda yang disebutkan dan mengaitkannya dengan kebesaran dan kehebatan Allah dalam penciptaan.

Hingga akhirnya kiraan berhenti pada huruf H.

“Humaira’!” saya menjawab sambil tertawa. Pandangan masih lagi saya tumpukan ke hadapan.

“Eh, mana aci ayah, itu kan nama, bukan benda,” dia membantah.

“Ala, aci kat India la, Hehe.” Saya melanggar peraturan sendiri dalam permainan kerana ingin cepat-cepat menyimpulkan pengajaran dari permainan. Jujurnya saya sendiri telah merasa agak mengantuk dan perlu berhenti di R & R Ulu Bernam 10 Kilometer lagi di hadapan.

“Humaira’, kalau pokok, ikan, lembu, ayam, ular dan semua benda yang kita sebutkan tadi ada sebab kenapa Allah jadikannya, Humaira’ rasa mengapa Allah jadikan kita dan lebih penting lagi mengapa Allah ciptakan Humaira’,” saya menyimpulkan soalan-soalan yang ditanyakan tadi kepada pengajaran paling penting dalam permainan kami petang ini.

“Humaira’ rasa, Allah jadikan kita untuk makan je ke?” saya memprovokasi setelah melihatnya berdiam diri, hilang punca untuk menjawab soalan saya tadi.

“Atau hanya untuk bermain?” saya menambah lagi provokasi.

““Tak tahulah ayah, kenapa?” Perlahan dia menggeleng kepala menyerah kalah, kemudian memulangkan soalan itu kembali kepada saya untuk menjawabnya.

“Begini sayang, Allah ciptakan kita untuk kita beribadat kepadanya. Ibadat tu maksudnya supaya kita solat, puasa, baca Quran dan pergi haji. Ibadat juga maksudnya kita berbuat baik kepada orang lain terutamanya pada ayah dan ibu, cikgu-cikgu dan kawan-kawan Humaira’.”

“Selain itu, Allah juga ciptakan Humaira’ sebagai seorang Islam supaya Humaira’ boleh mengajar tentang Islam kepada orang lain. Ajar adik Khadijah baca Iqra’, beritahu kawan-kawan agar kena pakai tudung, dan ajak orang lain untuk solat bersama-sama.” Saya menambahkan perisa dakwah dalam pengajaran, agar dia tahu bahawa menjadi seorang muslim, ada tanggungjawab dakwah yang perlu dilaksanakan.

Jika dia tidak dapat memahaminya sekarang, saya berharap suatu hari nanti dia akan memahami dan membesar menjadi seorang da’i yang akan mengajak manusia ke jalan ilahi. Saya ingin anak-anak saya menjadi pendakwah, moga Allah mengabulkan harapan saya ini.

Lama dia terdiam. Saya juga telah kehabisan modal hingga akhirnya suasana sepi kembali. Kemudian kesepian itu tiba-tiba dipecahkan dengan soalan.

“Lambat lagi ke ayah? Berapa kilometer lagi ayah?” tanyanya dalam nada yang sungguh merimaskan.

“aaaarghhhhhhhhhhhhhhhhh!” saya mengeluh, mujurlah R&R Ulu Bernam hanya 500 meter lagi di hadapan.

1 comment:

  1. Salam juang akhi..

    Beruntung down under dapat seorang pakar motivasi.

    This was simply going to be among top inspired games in my dictionary.. will practice that once Khairah's sister in the town..

    Bila agak bukunya nak sampai ke Tanah Inggeris ni...

    ReplyDelete