Kebesaran Allah ada di mana-mana


Hari ini aku ke KL, ada beberapa urusan, antaranya ke UKM dan UPM untuk melihat suasana PhD di sana. Cadang nak bertolak malam tadi, tapi sebab kereta aku tukar timing belt dan hanya siap jam 9 malam, aku bertolak pagi tadi. Lepas solat subuh di Masjid Bandar Darulaman, lebih kurang jam 6.40 am aku terus memecut ke KL dengan harapan nak buat rekod baru, masa terpantas ke KL dari Jitra.

Sampai di Penang, jam menunjukkan pukul 7.08 am, aku menoleh kekiri dan Masyaallah! Pemandangan matahari naik dari arah timur di celah-celah bukit adalah satu pemandangan yang cukup mengkagumkan, betapa hebat dan besarnya kekuasaan Allah yang menjadikan silih pergantian malam dan siang. Tidak pernah walau sehari matahari itu gagal untuk menepati janjinya kepada Allah untuk menerangi kita semua.

Sampai di Ipoh pula jam menunjukkan jam 9 am, cuaca ketika itu agak mendung, dan tompokan awan banyak dilangit, sekali lagi aku terkesima melihat pemandangan cahaya matahari membelah awan, sungguh menakjubkan. Sesungguhnya dunia ini sentiasa penuh dengan keajaiban-keajaiban yang menunjukkan tanda-tanda kebesaran tuhan.

Aku mula berfikir dan berbicara dalam hati,

Sungguh terlalu banyak tanda-tanda kebesaran Allah diatas muka bumi ini, hatta dibawah mikroskop sekalipun, inah (clastogenic.blogspot.com) pasti boleh menjelaskan tanda-tanda kebesaran Allah yang halus ini dengan baik sekali. Tidak dilupakan makhluk – makhluk Allah yang lain seperti ikan lumba-lumba, dedaun menghijau, burung yang berterbangan dan yang paling mulia dan paling hebat adalah tidak lain dan tidak bukan kita sendiri. Tok Penghulu Amsterdam Aziziabaziz.blogspot.com pasti boleh menjelaskan kepada kita akan betapa hebatnya anugerah akal kepada manusia.

Tapi, manusia sentiasa suka kepada benda-benda yang ganjil, tanda-tanda kebesaran Allah terbentang luas di depan mata, tetapi yang digembar-gembur dan digambarkan sebagai kebesaran Allah adalah kalimah-kalimah suci diatas objek-objek tertentu, diawan, diatas pokok, dibadan haiwan, batu bersujud dan sebagainya. Tidaklah salah untuk kita merasa takjub, tetapi tanda-tanda yang jelas dihadapan mata hatta dalam tubuh badan kita sendiri mengapa tidak pernah diambil sebagai iktibar?

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan pada silih pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda kebesaran bagi golongan ulul albab ” Ali Imran : 190

Sehebat mana kita sebagai manusia, mampukah kita mengawal denyutan jantung kita, mampukah kita menghentikan walau seketika proses perkumuhan dalam tubuh badan kita, mampukah kita menahan mata untuk tidak berkedip walau seminit dan mampukah kita untuk menahan rambut dan kuku kita dari memanjang. Cuba bayangkan jika kita yang mengawal sendiri tubuh badan kita, tumbesaran kita, pastilah tidak akan ada manusia yang akan hidup sebaik keluar dari rahim ibunya.

Semua bukti-bukti yang ada menunjukkan bahawa manusia tidak akan mampu untuk mencipta suatu sistem hatta untuk mengurus tubuh badannya sendiri, kerana hakikat kita adalah hamba yang lemah dan sentiasa berkehendak kepada nikmat dari Allah. Lalu bebal apakah manusia yang menyangka bahawa undang-undang ciptaan manusia lebih baik dari undang-undang yang diturunkan oleh Allah…

“…Ketahuilah bahawa Allah itu maha perkasa lagi maha bijaksana” Al Baqarah:208
Sedar tak sedar, aku sampai di rumah di KL lebih kurang jam 10 am, wah ternyata satu rekod baru, 3 jam 20 minit hasil pecutan pada 170 km/j di beberapa lokasi strategik, kelajuan purata adalah 125 km/j. Mintak-mintakla jangan sampai surat saman lepas ni…

3 comments:

  1. Aku setuju tu...Kat bumi Qatar ni pun aku lagi kene lebih2 banyak syukurrr...Allahu akbar!

    ReplyDelete