Walaupun negara masih dalam keadaan murung dengan tragedi MH17 yang amat
mengejutkan, kemurungan itu sedikit terubat dengan kejayaan diplomasi Datuk
Seri Najib dengan kumpulan pemisah di Donetsk yang diketuai oleh Alexander
Borodai dalam mendapatkan kembali kotak hitam pesawat, akses pasukan penyiasat
antarabangsa kepada kawasan pesawat terhempas dan lebih penting, mendapatkan
kembali mayat-mayat mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut.
Malaysia menerima kotak hitam dari puak pemisah |
Rundingan di belakang tabir ini, sebenarnya adalah satu proses yang amat
sukar dan berisiko, kerana kita tidak ingin mencari masalah dengan Kiev yang di
belakangnya ada Eropah dan Amerika, apatah pula dengan Russia. Berunding terus
dengan Borodai adalah ibarat mengiktiraf tuntutan puak pemisah Donetsk yang
sedang diperangi oleh Kiev.
Apapun, kejayaan yang dipuji oleh banyak media dan masyarakat
antarabangsa ini adalah satu pencapaian besar buat Malaysia kerana ketika
kuasa-kuasa besar dunia saling menuding jari, Malaysia, secara khususnya Datuk
Seri Najib bekerja dengan senyap di belakang tabir untuk menyelesaikan masalah
dengan efektif.
Kejayaan ini membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia, walaupun kecil di
mata dunia, tetapi mempunyai jiwa yang cukup besar dan sentiasa komited dalam
membina dunia yang lebih aman tanpa konflik. Tidak seperti kuasa-kuasa besar
dunia yang hanya jaguh dalam berkata-kata, tapi hipokrit dalam tindakan,
Malaysia membuktikan sebaliknya.