Dalam sesi seminar statistik kaedah PLS SEM minggu lepas, Professor
Ringle memulakan kelas dengan bercerita tentang seorang ahli akademik yang
sentiasa menjadi rujukan dan inspirasinya iaitu J.L Lohmoller.
|
kenangan bersama Prof. Ringle di Newcastle University, New South Wales |
Saya mendengar dengan penuh tekun, kalau orang sebijak dan sehebat
Professor Ringle boleh kagum pada seseorang, maka pastilah orang itu adalah
orang yang amat hebat tahap ilmu statistiknya.
Menurur Professor Ringle, Lohmoller adalah seorang genius muda yang
luarbiasa. Walaupun usianya singkat (meninggal dunia pada usia yang masih muda)
dan buku tulisannya hanya satu, tapi kualiti ilmu statistik yang ada dalam buku
tersebut adalah amat tinggi tahapnya.
Walaupun ditulis pada tahun 1989, tapi
masih relevan hingga hari ini, dan lebih menarik, walaupun Professor Ringle
telah membacanya buku tersebut berkali-kali, karya Lohmoller tetap menjadi
rujukannya hingga hari ini dan kata beliau lagi, hingga hari ini tetap ada
bahagian di dalam buku tersebut yang masih belum dapat difahaminya dengan baik
kerana tahap kompleksiti dan penggunaan kaedah statistik yang maju dan luarbiasa.
Terus saya teringat pada Imam Nawawi yang juga meninggal dunia pada usia
yang masih muda, tapi meninggalkan legasi pemikiran dan karya yang terus hidup
hingga hari ini. Kitab-kitab yang ditulis oleh Imam Nawawi adalah amat hebat
dan terlalu banyak, jika dibandingkan dengan umur beliau yang singkat, jumlah
tulisan yang dihasilkan oleh beliau, ternyata amat luarbiasa. Hingga hari ini,
kitab-kitab beliau masih menjadi rujukan utama umat Islam di seluruh dunia.
Walaupun singkat masa hidupnya, tapi ternyata keberkatan usia dan
ilmunya adalah amat menakjubkan.
Begitu juga dengan Imam Hassan Al Banna yang meninggal dunia juga pada
usia yang masih muda, tapi legasi pemikiran dan kaedah amalnya telah membuatkan
musuh-musuh Islam tidak senang duduk. Manusia-manusia yang lahir dari madrasah
tarbiah Al Banna adalah manusia yang luarbiasa kerana walaupun disiksa dan
diuji dengan pelbagai ujian hingga hari ini di Mesir, tapi mereka tetap teguh
dengan keimanan dan terus berusaha untuk menegakkan panji Islam di tempatnya
yang tertinggi hingga hari ini.
Bahkan, dari madrasah tarbiah Al Banna juga lahir gerakan HAMAS yang
terus menjadi tunjang kebangkitan dan semangat juang rakyat Palestin dalam
perjuangan membebaskan Al Aqsa.
Banyak lagi tokoh-tokoh silam yang singkat hidupnya, tapi sumbangannya
luar biasa dan terus menjadi rujukan ramai manusia hingga hari ini.
Tidak dapat dibayangkan pahala tidak putus-putus yang diterima oleh
mereka ini di dalam kubur. Pasti hidup mereka selesa di alam baqa’ berkat kerja
keras mereka di dunia, Insyaallah.
Apa sebenarnya rahsia keberkatan usia mereka?