Tumpul

Bila lama tidak menulis, sentuhan terasa semakin tumpul. Idea juga terasa semakin sukar untuk diungkapkan dalam bentuk bait-bait tulisan, walaupun hanya lintasan dan konsep yang mudah.

Benarlah kata seorang guru saya, menulis itu adalah proses pemikiran. Dengan menulis, kita akan belajar cara untuk menyusun dan mempersembahkan idea kita dengan cara yang sistematik.

Bukan kekeringan idea, bukan juga kerana kurang membaca, tapi, beberapa bulan kebelakangan ini, mungkin saya terlalu banyak bermusafir dan menguruskan urusan analisa data yang memaksa saya bermain dengan nombor hingga beberapa komitmen penulisan terpaksa saya tinggalkan buat sementara. Blog ini juga semakin kerap saya tinggalkan, mohon maaf kepada yang selalu bertandang ke sini jika tiada update baru yang menarik.

Ya, tidak ada cara lain untuk mengasah tulisan saya kembali, melainkan dengan menulis dan terus menulis. Moga Allah mengurniakan ilham untuk saya terus berkarya untuk ummah.



Kisah Ramadhan di East Turkistan


“Alhamdulillah, bersyukur kerana kita di sini mampu berpuasa dengan tenang, dapat Solat Terawih dengan aman dan mengamalkan agama kita sepuas-puasnya. Atas nikmat ini, marilah kita bersyukur dan menambahkan lagi kualiti amal ibadah kita di bulan yang mulia ini.”  Imam Salam memulakan sesi tazkirah selepas tamat lapan rakaat solat Terawih di Masjid Wandana.

Memang menjadi kelaziman di  masjid ini, Imam Salam akan memberikan sedikit pengisian selepas tamat lapan rakaat. Banyak topik dan isu yang diulas dalam sesi yang berlangsung dalam lebih kurang dua puluh minit.

Biasanya, saya mengambil kesempatan ini untuk berehat seketika dengan bersandar di tiang belakang masjid. Mengumpul tenaga untuk dua belas lagi rakaat yang berbaki.

“Namun, dalam limpahan nikmat yang kita dapat di sini, jangan kita lupa bahawa ada saudara-saudara kita di seluruh dunia yang sedang dizalimi.” Sambung Imam Salam, saya mendengar dengan mata yang terkebil-kebil menahan kantuk.

“Kita di sini dapat berpuasa dengan aman, walaupun kita hidup di negara barat, tapi tahukah kita bahawa saudara-saudara kita di East Turkistan ditekan dengan begitu hebat di bulan Ramadhan ini?”

Mata yang mengantuk kembali cerah bila mendengar Imam Salam bercerita tentang situasi di East Turkistan, negara asalnya, lebih spesifik, kisah Bangsa Uighur yang dizalimi dan ditindas dengan begitu hebat oleh pemerintah Cina dari etnik Han hanya kerana mereka beragama Islam.

East Turkistan atau Xinjiang adalah bumi warisan Islam yang terjajah hingga sekarang. Selepas penaklukan Empayar Manchu dan parti komunis Cina, umat Islam di sana menerima tekanan demi tekanan sejak zaman berzaman. Panjang jika sejarahnya ingin diulas, namun apa yang berlaku sekarang, secara khusus di bulan Ramadhan 1434 Hijrah ini, amat menyedihkan dan meruntun jiwa.

Salam Ramadhan Al Mubarak 1434 Hijrah

Cara terbaik untuk memulakan langkah memperjuangkan Islam dan membela saudara-saudara kita yang tercedera dan terkorban syahid dibunuh oleh pihak musuh di mana-mana dunia Islam adalah dengan memperbaiki diri kita sendiri terlebih dahulu.

Jika sebelum ini kita culas ke masjid pada waktu Isya' dan Subuh, gagahkan langkah kita untuk menuju ke masjid bermula di bulan Ramadhan ini. Sesungguhnya para pendokong agama Allah itu adalah mereka yang hatinya dekat dengan masjid.

Jika sebelum ini mata dan telinga kita biasa melihat dosa dan mendengar halwa-halwa yang tidak memberi apa-apa makna, tinggalkanlah sedikit demi sedikit, kerana doa yang mustajab itu datangnya dari hati yang bersih dan hati yang bersih itu datangnya dari mata dan telinga yang terpelihara.

Jika sebelum ini mulut dan jemari kita biasa berkata dan menulis racun-racun berbisa yang melukakan saudara, tahanlah mulut dan tangan itu dari memperkatakan yang sia-sia, apatah lagi dosa yang nyata, kerana pejuang Allah itu sentiasa memelihara lisan dan tangannya dari melukakan saudaranya yang seagama.

Sama-sama kita berusaha agar Ramadhan ini jadi Ramadhan kita yang terbaik, moga Allah mengampunkan segala dosa dan menerima amal-amal kita di sepanjang bulan Ramadhan nanti.

Salam Ramadhan Al Mubarak dari kami sekeluarga, ampun dan maaf dipinta jika ada dosa yang sengaja mahupun tidak disengaja.

Mohd Hisham Mohd Sharif
Hasifah Zainuddin
Humaira' Mohd Hisham
Khadijah Hanan Mohd Hisham
Fatimah Insyirah Mohd Hisham