Malam ni nak mengomel sikit dengan diri sendiri, nak menulis ikut rasa hati. Jangan marah ye pembaca-pembaca blog yang budiman (ayat perasan) :)
Dulu masa zaman belajar di UUM, duit boleh dikatakan ngam ngam sahaja setiap bulan. Jadi, makannya memang ala kadar, setakat mana yang ada. Hujung-hujung semester, biasanya Maggi menjadi pengalas perut. Kadang-kadang, pergi ke Cafe, ambil nasi dengan kuah je.
Namun begitu, riadhah pula boleh dikatakan setiap hari tanpa 'miss'. Kalau tak badminton, bola, kalau tak bola, jogging keliling balapan atau keliling kompleks sukan. Gym tu tidaklah sebab kena bayar, tapi adakalanya, rajin juga berkayak dengan kawan-kawan. Boleh dikatakan, hampir semua jenis sukan pernah dicuba di UUM dulu kecuali Golf. Paling dinanti adalah riadhah bola setiap Jumaat pagi sebab dapat jumpa geng-geng usrah, dapat peluang nak tackle keras kaki naqib dan senior usrah yang kerek dan ada tazkirah lepas main. Paling untung, biasanya dapat makan best-best, kalau tak kat rumah naqib, ada je yang baik hati nak belanja kat cafe.
Mungkin sebab itu, dulu, metabolisme tubuh terasa cukup laju. Badan memang amat cergas dan jarang mengantuk di kelas. Kopi dan teh memang amat jarang disentuh, kecuali kalau ada yang sudi membelanja sahaja. Berat pun hanya 65 kilo je.
Bila masuk alam pekerjaan, tidaklah kaya, tapi duit Insyaallah ada. Makan juga dah lengkap sempurna. Ada sahaja menu baru yang hendak dicuba. Bila dah kahwin apatah lagi. Teh dan kopi manis pula dah menjadi rutin harian. Mahani Johari (restoran Siam yang paling famous di Jitra), Jo Cendol Pulut, Lynda Kuala Perlis, bukan lagi hanya boleh dirasa dalam mimpi, tapi bila-bila boleh pergi.
Riadhah, hmmm....mula-mula cuba juga maintain, tapi memang terasa amat sukar. Tak semudah zaman pelajar dulu. Bila dah berkeluarga dan punya anak, lagilah susah nak mencari masa. Pelbagai komitmen baru timbul. Badan pun dah naik macam Incredible Hulk, cuma yang naik tu lemak, bukannya otot. Muda-muda dah dapat gelaran PJK (faham-faham sendiri la).