Bilakah Malamnya?


Pejam celik pejam celik, sedar tak sedar kita telah menghampiri garisan pecutan terakhir dalam bulan Ramadhan. Hadiah pembebasan dari api neraka dan hadiah bonanza lailatul qadr akan menanti buat mereka yang istiqamah dan ikhlas dalam memburu madrasah taqwa.

Menjelang malam-malam terakhir ini, ada yang bertanya dan membuat hitungan tentang bilakah malam lailatul qadr? Apakah ianya akan jatuh pada malam 21,23,25,27 atau 29. Bagaimana pula dengan perbezaan masa dan waktu kerana malam 21 di sini mungkin waktunya lain di sana. Jadi bilakah masanya malaikat berbondong-bondong turun mencurahkan kesejahteraan kepada manusia seluruhnya.

Ada yang menggunakan formula Imam Ghazali iaitu dengan melihat kepada hari jatuhnya Ramadhan, ada pula yang melihat kepada pendapat-pendapat ramai dari para sahabat nabi dan ada juga yang cuba berteori sendiri dengan melihat kepada suasana malam yang sunyi sepi, tetapi sebenarnya ada formula yang lebih pasti. Mudah sahaja caranya untuk mendapatkan malam lailatul qadr, istiqamahlah beribadah pada setiap malam, maka insyaallah salah satu dari malam tersebut adalah malam lailatul qadr.

Selamat Mengejar Malam Lailatul Qadr, moh kita lepas masjid semuanya...

Ajaib!


Mencari-cari kebesaran Allah, biasanya ramai yang akan mencari-cari perkara-perkara luarbiasa. Contohnya seperti nama Allah pada badan ikan, pada buah tomato, pokok yang bersujud, laut terbelah, masjid yang tidak runtuh walaupun seluruhnya kawasan sekeliling dilanda gempa, bayi yang pada kulitnya ada nama Allah dan pastinya ramai juga yang merenung awan pada bulan Ramadhan ini dengan harapan akan terlihat gumpalan awan membentuk kalimah Allah.

Benar, itu adalah kebesaran Allah, tetapi hanya sekelumit. Awan yang membentuk kalimah Allah memang hebat, tetapi penciptaan awan dan pergerakan-pergerakannya sendiri itu jauh lebih hebat dan mengkagumkan jika dilihat dengan mata hati yang celik dan terbuka. Buah tomato yang mengandungi nama Allah itu memang mengkagumkan, tetapi celikkah kita dengan kehebatan penciptaan buah tomato yang tumbuh. Walau ditanam bersebelahan pohon cili padi yang pedas, tetap menghasilkan rasa tomato yang unik. Nama Allah pada kulit bayi memang hebat, tetapi proses penciptaan manusia yang kompleks tanpa dikawal oleh tangan-tangan manusia jauh lebih mengkagumkan.

Namun, dalam mencari-cari magis dan perkara-perkara luar biasa, ramai yang terlupa bahawa keajaiban yang paling agung dalam sejarah umat manusia seluruhnya ada di depan mata kita semua dan mungkin berada di rumah setiap dari kita. Itulah Al Quran yang mulia.

Mukjizat yang paling hebat dan agung ini telah bertahan ribuan tahun, menjadi panduan dan cahaya bagi perjalanan kehidupan umat manusia generasi demi generasi. Tidakkah kita merasa takjub saat Quran menceritakan tentang kisah perjuangan nabi dan rasul terdahulu dan kisah penjelajahan masa hadapan di syurga dan neraka dengan begitu teliti sekali.

Tidakkah kita merasa takjub saat Allah berbicara tentang penciptaan manusia dengan begitu indah dan tepat hingga menggetarkan jiwa Prof. Keith Moore yang akhirnya menemui jalan hidayah.

Tidakkah kita merasa takjub saat Quran berbicara tentang penciptaan alam semesta, membuatkan pengkagum teori big bang Stephen Hawking terpana bagaimana tanpa teleskop Hubble ada manusia yang boleh mengetahui dengan terperinci tentang letusan besar yang menjadi perintis penciptaan alam semesta.

Tidakkah kita merasa takjub saat Quran berbicara tentang pemisahan antara dua laut yang hanya ditemui manusia beribu tahun selepasnya dan tentang bintang-bintang yang berupa ros merah seperti difirmankan dalam surah Rahman.

Tidakkah kita merasa takjub, tatkala bagaimana Allah berbicara tentang madu dan susu, juga tentang sayap nyamuk yang dijadikan misal buat mencabar keegoan manusia.

Tidakkah kita merasa takjub saat melihat kepada hukum-hukum dari Al Quran yang sesuai untuk setiap zaman, mundur atau maju, analog atau digital, tetap relevan untuk menyelesaikan masalah manusia generasi demi generasi.

Juga ketika Quran menceritakan tentang kekalahan dan kemenangan Rom yang dijanjikan pada bumi yang dekat, tidakkah kita merasa kagum dan ingin tunduk.

Membicarakan tentang keajaiban Al Quran, tidak akan ada kesudahan pada ketakjuban dan kekaguman, kerana setiap ayat-ayatnya datang dari alam yang tertinggi, dibawakan oleh makhluk yang paling mulia, pada bulan yang paling mulia dan diturunkan pula kepada manusia yang paling mulia. Inilah kemuncak kepada segala keajaiban dan penghulu kepada segala magis dalam alam manusia ini.

Bulan Ramadhan adalah bulan Al Quran, mari kita sama-sama menelusuri dan menerokai setiap ayat dari Al Quran buat melembutkan hati yang gersang, menambah keimanan dan mencipta ketakjuban demi ketakjuban yang tidak akan ada penamatan dan tolok bandingan.

Untung Besar!

Diriwayatkan bahawa Saidina Ali telah berkata bahawasanya ganjaran buat mereka yang membaca al quran dalam keadaan solat adalah sebanyak 100 hasanah bagi setiap huruf yang dibaca, manakala bagi mereka yang solat dalam keadaan duduk pahalanya adalah 50 hasanah. Bagi mereka yang membaca al quran dalam keadaan berwudhu’ pula pahalanya adalah 25 hasanah dan bagi yang tidak berwudhu pahalanya adalah sebanyak 10 hasanah.

Masyaallah! Betapa hebatnya ganjaran yang Allah kurniakan buat mereka yang membaca Al Quran. Apatah lagi dalam bulan Ramadhan ini dimana Allah telah menjanjikan gandaan pahala yang tiada taranya. Jika kita umpamakan 1 hasanah itu adalah seperti RM 1 di dunia dan sebenarnya tiada bandingannya kerana 1 hasanah pasti lebih baik dari dunia dan seisinya maka berapa agaknya ganjaran yang akan kita terima jika kita istiqamah solat terawih + witir 11 rakaat dibulan Ramadhan ini dengan andaian bahawa setiap rakaat kita hanya membaca fatihah sahaja. Mari kita sama-sama kira.

Dalam al fatihah terkandung lebih kurang 115-118 huruf, katalah kita ambil 115, maka 115 x 11 rakaat x 100 hasanah x 29 hari = 3,668,500. Subhanallah, dengan fatihah sahaja kita telah menjadi jutawan, apatah lagi jika kita solat 23 rakaat. Itu belum dikira solat fardhu yang wajib dan solat-solat sunat lain seumpama solat dhuha, tahajud, taubat dan hajat. Dan jangan lupa bahawa Allah telah menjanjikan dalam bulan Ramadhan gandaan pahala yang cukup hebat.

Jika dinilai dari sudut matabenda dunia, maka angka 3 juta lebih tersebut amatlah besar nilaiannya, tetapi ingat, 1 hasanah nilaiannya lebih baik dan lebih utama dari apa sahaja harta dunia yang tidak kekal. Segala modal keuntungan perniagaan ibadah kita di dunia ini akan kita gunakan untuk membeli aset-aset abadi buat kita hidup bahagia di akhirat sana.

Hiduplah untuk kehidupan akhirat yang lebih panjang dan abadi, ibarat kata seorang teman selepas solat asar tadi.

“Para sahabat dan salafussoleh yang celik mata akhiratnya sanggup bermati-matian dan bergolok gadai segalanya untuk menebus dunia bagi mendapatkan akhirat yang lebih utama, kerana mereka lebih sedar dan yakin bahawa dunia ini hanya perjalanan singkat yang akan tamat bila-bila masa.”

Adil Tidak Semestinya Sama Rata


Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah biar pun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau pun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjaan.

[4:135]

Katakanlah: "Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan". Dan (katakanlah): "Luruskanlah muka (diri) mu di setiap salat dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah) kamu akan kembali kepada-Nya)".

[7:29]

Membicarakan tentang konsep keadilan dan kesaksamaan, pelbagai definisi boleh diberi, pelbagai tafsiran boleh dibuat dan pelbagai perkara boleh diperdebatkan. Namun yang pasti, keadilan tidak semestinya sentiasa sama rata.

Dalam rumahtangga misalnya, ketika hendak pulang berhari raya, suami isteri telah menetapkan sistem giliran, maknanya tahun ini giliran suami manakala tahun seterusnya giliran isteri dan begitulah berlaku dari tahun ke tahun. Tiba satu tahun dan ketika itu giliran untuk pulang ke rumah isteri, si suami mendapat panggilan bahawa ibunya sedang sakit tenat. Ketika suami memilih untuk pulang ke rumahnya bagi menjenguk dan menjaga ibunya yang sedang sakit, apakah ketika itu suami akan dicop sebagai tidak adil kerana tidak mematuhi perjanjian dan tidak mengikut giliran pulang ke kampung? Zalimlah si isteri jika tetap berkeras mahu menuntut hak balik kampung tatkala ibu mertuanya sedang bertarung nyawa dan amat berharap untuk menatap wajah anak-anaknya yang mungkin tatapan itu adalah tatapan terakhir.

Tatkala seorang ibu makan bersama anak-anaknya, tidak adilkah si ibu apabila hanya menyuap anaknya yang masih kecil yang belum pandai untuk menyuap makanan sendiri dan dibiarkan anak-anaknya yang telah besar panjang makan dengan upayanya sendiri? Ibu itu tahu, satu hari nanti anak kecil itu akan membesar, tetapi buat masa ini upaya tangannya masih lemah dan perlu dibantu, jika dibiarkan akan tumpahlah nasi merata-rata dan akan kelaparanlah anak kecil itu.

Ketika si anak yang telah besar memberontak di meja makan, menyatakan ibunya tidak adil, pilih kasih dan meminta agar ibunya tidak lagi menyuapkan anaknya yang kecil dan memberi potongan ikan yang dikhaskan untuk anak kecil kerana tidak upayanya tadi untuk mencubit daging ikan dengan baik dan selaju abang-abang yang telah besar , si ibukah yang zalim kerana tidak mahu memberi ikan atau anak besar itu kah yang kurang rasional?

Ketika mana seorang pencuri masuk ke rumah dan akhirnya memilih untuk menetap di rumah itu, adilkah pihak polis apabila mengarahkan tuan rumah untuk berkongsi rumah bersama si pencuri? Tatkala tuan rumah cuba untuk melawan pencuri, tuan rumah pula yang ditangkap polis dan dipenjarakan manakala sang pencuri dibiarkan lepas bebas dan meletakkan pelbagai peraturan disana dan disini untuk tuan rumah yang dibebaskan kemudiannya. Adilkah begitu?

Keadilan itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, menunaikan hak kepada yang patut mendapatnya. Zalimlah kita apabila ketayap yang letaknya dikepala disarungkan dikaki manakala selipar disarungkan di kepala. Mungkin ketika itu, manusia tidak lagi akan menuduh kita zalim, bahkan gila mungkin.

Berpada-padalah dalam membuat tuntutan, fahamilah suatu isu dengan kefahaman yang benar dan berlaku adillah jika tidak mahu dikatakan gila!

Kerana aiskrim di syurga sana

“Humaira, esok maira kena puasa tau, sebab esok dah masuk bulan puasa” aku bertanya kepadanya sehari sebelum Ramadhan. Ketika itu dia sedang leka menonton rancangan kelas fardhu ain di TV9 bimbingan Ustaz Zamri Manthop.

“Boleh, Boleh, tapi puasa tu apa ayah?” dia bertanya kembali, mengalihkan seketika perhatiannya terhadap rancangan yang sedang ditontonnya.

“Puasa tu, kita tak boleh makan dan minum sampai masuk waktu maghrib” aku menerangkannya maksud puasa seringkas yang mungkin, agar dia boleh memahaminya dengan mudah juga.

“ooooo, tapi kenapa kita kena puasa ayah?” soalan kedua yang timbul lebih mencabar untuk aku menjawabnya, namun aku telah mengagak bahawa soalan ini akan ditanya. Setiap apa pasti aka nada kenapa selepasnya.

“Puasa ni Allah suruh, supaya kita jadi lebih kuat dan lebih soleh lagi” aku menerangkan lagi dengan hakikat yang mudah sesuai dengan perkembangan fikirannya yang bijak tetapi masih mentah.

“ooooo, kalau puasa boleh masuk syurga ke ayah?” dia bertanya lagi, kali ini tentang ganjarannya pula. Memang benarlah iklan susu yang menyatakan bahawa minda anak-anak ni saling berhubungan.

“Haaa, kalau puasa penuh, tentulah Allah akan bagi hadiah istimewa, bolehlah masuk dalam syurga” wajahnya kelihatan ceria, senyuman mula terukir diwajahnya apabila membayangkan tentang syurga tatkala aku menceritakan tentang hakikat balasan yang abadi kepadanya.

“Haaa, dalam syurga ada sungai susu kan ayah kan, yang kita boleh mandi kan ayah kan” Humaira mengimbas kembali penerangan tentang syurga yang selalu kami terangkan kepadanya jika dia berbuat sesuatu amalan kebaikan.

“Iyee, macam-macam ada dalam syurga tau sayang” sambil aku mengingat firman Allah dalam surah Yaasin ayat 57.

“Dan di dalam syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan apa sahaja yang diinginkan”

“Ayah ayah, dalam syurga ada aiskrim tak?” tanyanya lagi, mungkin kerana makanan kegemarannya di dunia adalah aiskrim.

“Adaa, aiskrim yang paling best paling special, nak aiskrim besar rumah pun boleh” aku menerangkan kepadanya bahawa dalam syurga kita akan beroleh apa sahaja yang kita inginkan selari dengan firman Allah dalam surah Yaasin walaupun Umar M Noor menyatakan dalam solusi isu 22 bahawa apa yang ada di syurga langsung tidak ada persamaannya dengan matabenda dunia, hanya persamaan dari segi nama sahaja supaya manusia boleh memikir-mikirkannya, namun hakikat sebenar syurga adalah kelazatan dan kenikmatan yang tidak pernah disaksikan oleh mata, didengari oleh telinga dan dibayangkan oleh hati manusia.

“Haaa, besar rumah, macamana maira nak makan?” kali ini dia tergelak kecil, sambil tangannya membuat gaya rumah yang sangat besar.

“Hehe, adalah cara dia, kalau masuk syurga baru boleh tau...” aku cuba mengacah untuk merangsang lagi motivasi dirinya dengan syurga.

“Ok..Ok, maira nak puasa, esok ayah kejut sahur macam Upin Ipin tau, maira nak makan banyak-banyak, barulah tak lapar nanti masa puasa” Bersemangat sungguh nampaknya anak sulungku ini, semoga dia akan beroleh kejayaan dalam puasa kali ini.

Dan semoga kita semua akan berkumpul di syurga sana.

Karya Sulung!

Ketika kali pertama melihat muka depan buku ini selepas proses cetakan siap, teringat satu kata-kata tapi tidak ingat pula perawinya,


“Buku pertama akan memberikan perasaan dan kegembiraan luarbiasa dan seorang lelaki itu hanya boleh dikatakan seorang lelaki apabila dia mempunyai buku karangannya sendiri”

Namun, setelah buku ini diterbitkan (walaupun hanya cetakan awal) aku sebenarnya merasa bimbang dan gusar juga terasa malu dengan ulama-ulama terdahulu. Mereka menulis kitab dengan bahasa keikhlasan, setiap bab tidak akan ditulis melainkan akan dimulakan dengan mengambil wudhu dan solat sunat.

Pada mereka, menulis kitab adalah semata-mata untuk menyebarkan ilmu dan dakwah, langsung tiada motif keuntungan atau untuk mengejar pangkat.

Zaman dahulu, mereka tiada laptop, internet, google, laser printer, pdf, endnote dan sebagainya, tapi tetap karya mereka bukan sahaja hebat, tetapi mengkagumkan. Lihat sahaja saiz karya Imam Malik, Imam Nawawi, Imam Syafi’i atau Imam Ahmad. Jangan lupa pada muhaddisin seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tirmidzi, Imam Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya. Juga lihat pada Ibn Taimiyyah atau Imam Habib Abdullah Haddad yang buta dan kalau lebih kontemporari lihat sahaja pada Sheikh Yusuf Al Qardhawi dan Hamka.

Pada mereka, kemahuan yang kuat akan menghasilkan natijah yang luarbiasa.

Karya mereka kekal zaman berzaman dirujuk oleh generasi demi generasi, meninggalkan warisan pahala yang tidak putus-putus hingga hari kiamat. Karya kita bagaimana pula?

Mari Kita Gegarkan Ramadhan!

11 bulan penantian akan berakhir Rabu ini. Bagi jiwa-jiwa rabbanni yang sentiasa mendambakan keampunan dan keredhaan, inilah masanya buat mereka meraih ganjaran terbesar dari pencipta langit dan bumi serta apa jua yang ada diantaranya.

Memasuki gerbang Ramadhan adalah ibarat memasuki pertandingan bolasepak piala dunia. Satu perlumbaan dan pertandingan paling berprestij antara semua pertandingan bolasepak dunia. Memasukinya harus dengan persediaan yang rapi, latihan yang teliti, mental yang ampuh dan kesediaan untuk berkorban bagi mencapai kejayaan.

Bolehkah kita bayangkan ada pemain atau pasukan yang layak ke piala dunia tetapi langsung tidak bersedia untuk menghadapinya. Pastilah akan dibelasah teruk oleh pasukan-pasukan gergasi, menjadi “sayur-sayuran” yang cukup mudah untuk diratah dan dibelasah. Bahkan akan menjadi bahan ketawa yang memalukan pula nanti.

Begitulah Ramadhan, antara 11 bulan yang ada, ia adalah bulan yang paling istimewa, memasukinya harus dengan hati dan fizikal yang telah lengkap bersedia. Mana mungkin kita akan mencapai kejayaan dalam Ramadhan jika memasukinya seperti mana kita memasuki bulan-bulan biasa. Silap-silap kita akan diratah dan dibelasah oleh nafsu yang telah menerima latihan keras dari jurulatihnya yang tidak pernah berputus asa, iaitulah syaitan yang sentiasa cuba untuk menyesatkan manusia.

Ramadhan adalah gerbang ibadah, perjuangan dan pengorbanan. Hanya yang cemerlang dan bersedia akan berjaya, kerana piala taqwa dan lailatul qadr itu mahal harganya. Tetapkan matlamat, mulakan latihan, teguhkan barisan, perkemaskan ikatan dan mari kita gegarkan Ramadhan dengan ibadah kita yang paling istimewa!

Segenggam Tabah:Teaser Review

Salam semua,
Teaser novel segenggam tabah, bakal muncul tidak lama lagi (doakanlah agar diberi kekuatan ye)!
***
Kisah Satu: Mimpi


Langit tengahari itu membiru indah, awan-awan yang bergerak perlahan menjadi saksi ayat-ayat kebesaran tuhan. Tersergam gagah puluhan kapalterbang di terminal KLIA menanti masa untuk berlepas. Sesekali kelihatan kapalterbang mendarat dan tidak kurang juga yang berlepas pergi menuju destinasi tersendiri.

Bingit enjin burung raksaksa tidak dipedulikannya, Azam menatap langit tanpa putus, mulutnya terkumat kamit mendoakan agar segalanya lancar.

Hatinya lega tatkala melihat awan mendung berarak pergi menyajikan cuaca indah buat hatinya dan juga buat penghuni kapalterbang MAS yang ditatapinya sejak tadi dari jendela menara pemerhati. Perlahan-lahan kapalterbang itu bergerak meninggalkan terminal setelah tertangguh beberapa kali akibat perubahan cuaca luarbiasa.

Bukan dia sahaja yang berdiri di situ, ramai juga di kalangan sanak saudara jemaah umrah kelolaan syarikat NS travel menanti bersamanya. Pelbagai gelagat kelihatan, ada anak kecil yang melambai-lambai walaupun pasti tidak akan kelihatan oleh insan tersayang di dalam kapalterbang. Ada yang kelihatan terpegun dengan suasana dan kecanggihan lapangan terbang antara terbesar di Asia. Tidak kurang yang kelihatan basah kelopak matanya, mungkin menangisi perpisahan sementara atau mengalirkan air mata gembira.

Azam hanya memerhati gelagat mereka, kemudian dia menghalakan semula pandangannya ke arah burung besi yang membawa dua insan yang paling disayangi dalam hidupnya.

Lafaz tasbih, tahmid dan takbir terus meniti dibibirnya, segala puji untuk pemilik langit dan bumi yang mempermudahkan segala urusan dan memperkenankan hajatnya selama ini. Janjinya kepada diri sejak dahulu kini terlaksana.

“Kami belum bersedia rasanya untuk menunaikan haji, biarlah mak dan abah pi buat umrah dulu, cari pengalaman” itu kata ayahnya tika Azam menyuarakan hasrat untuk menghantar mereka menunaikan haji.

“Azam tidak membantah ayah, kalau itu yang ayah fikir terbaik, maka itulah yang Azam akan tunaikan, namun jika Ayah berubah fikiran Azam tetap bersedia Ayah” Azam menyatakan hasrat dan kesungguhannya untuk menaja pemergian ayah dan ibunya menziarahi dua kota suci dan menunaikan rukun islam ke lima. Walaupun terlintas juga sekelumit perasaan kecewa, namun dipadamkannya segera atas nama membahagiakan hati kedua orang tua.

“Azam nak hantar kami pi umrah pun, seribu syukur kami ucapkan, bukan semua yang mendapat peluang begini zam. Beruntung kami mendapat anak yang berhati mulia seperti Azam.”

Kali ini ibunya pula yang bersuara dengan senyuman yang manis. Terubat hatinya mendengar kalimah keramat yang menusuk terus ke hatinya, terlukis warna-warna bahagia pada hati setelah sekian lama dihinggap derita.

Terbayang di benak pemikirannya ketika itu, jerih payah menjual bungkusan demi bungkusan nasi lemak hingga kepada setiap butir dedak buat memberi makan kepada ikan keli dan tilapia serta ternakan ayam daging yang diusahakannya. Pengorbanan dan setiap titis peluh yang tumpah saat itu dirasakannya cukup berbaloi.

Terasa hilang segala kesusahan dan kepenatan selama ini tatkala melihat kapalterbang itu yang tadinya bergerak perlahan kini mula bergerak laju meninggalkan landasan. Azam melepaskan pandangannya seketika dan duduk sebentar di bangku yang tersedia buat melepas lelah setelah berdiri lebih dari satu jam.

“Abang!” Azam terkejut seketika dan bingkas berdiri tatkala mendengar sapaan cemas adiknya. Dia melihat seketika wajah adiknya yang bernama Anis kelihatan pucat lesi sambil jari telunjuknya tepat dihalakan ke arah kapalterbang yang sedang mengeluarkan asap dari ekor, kelihatan percikan-percikan api disekeliling tubuh kapalterbang itu.

“Eh, Ya Allah, Allahuakbar, kenapa ni? Ya Allah, Ya Allah” hatinya yang tadi berbunga gembira, kini dihinggap perasaan cemas yang tidak tergambarkan ketika dia menyaksikan situasi cemas yang berlaku. Hanya Allah yang diingatinya sekarang ini.

Kapal terbang yang belum sempat meninggalkan landasan, berpatah balik semula dalam keadaan terhoyong hayang. Azam masih tetap di jendela menara, hati dan bibirnya selari melafazkan doa, suasana tenang dan gembira sebentar tadi bertukar menjadi huru hara.

Ada yang bertempiaran lari tanpa arah, tidak kurang yang menangis dan menjerit. Juga kelihatan beberapa susuk tubuh yang pitam dan pengsan. Suasana tambah gempita tatkala kapalterbang itu terus menuju ke arah terminal pemerhati dalam keadaan separuh badannya telah terbakar dan kini ia ibarat bebola api besar yang akan memusnahkan apa jua dihadapannya.

“Abaaaaangg”, Anis menjerit dan memaut kuat tubuhnya. Azam tetap tidak berganjak, jeritan adiknya hanya kedengaran sayup-sayup ditelinga

Bunyi enjin yang semakin hampir menenggelamkan segala jerit tangis manusia yang bakal berhadapan dengan maut yang tidak tersangka-sangka. Azam tidak berganjak dari jendela. Bebola api itu tepat menuju kearahnya.

Tahniah!

Tahniah atas kesyahidan terbaru pemimpin pejuang pembebasan Hamas, semoga Allah mengurniakannya anugerah syuhada dan menunaikan janji-janjinya kepada ikhwan yang masih menanti-nanti...

Al Ahzab 22-24:
Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: "Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita". Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.


Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya),

supaya Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu karena kebenarannya, dan menyiksa orang munafik jika dikehendaki-Nya, atau menerima tobat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

***

GAZA CITY 31 Julai - Pesawat pejuang Israel membedil lima lokasi di seluruh Gaza menyebabkan seorang komander kanan tentera sayap Hamas terbunuh dan 10 orang lagi cedera.


Tentera Zionis mengesahkan serangan udara itu dan memberitahu ia dilakukan sebagai respons terhadap serangan roket dari Gaza ke bandar Ashkelon, kelmarin.

Keganasan melepasi sempadan itu berlaku selepas beberapa minggu keadaan huru-hara dan meningkatnya kebimbangan ia semakin menjadi-jadi.

Seorang tentera Hamas, Izzedine al-Qassam berkata, mereka akan membalas dendam atas kematian Issa Batran, 42, komander sayap di tengah Gaza dan pembuat roket senior itu.

Menurut Hamas, lapan daripada pengikutnya dan tiga penduduk awam adalah antara mangsa yang cedera dalam serangan udara itu.

Sasaran yang terkena dengan serangan peluru berpandu itu termasuklah kem latihan tentera Hamas di Gaza City, terowong bawah tanah di bawah sempadan Gaza-Mesir dan rumah yang terletak di pinggir kem pelarian Nusseirat, menurut pegawai keselamatan Hamas.

Sementara itu, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan roket ke atas bandar Ashkelon pada Jumaat lalu, bandar yang dihuni 120,000 penduduk haram Yahudi yang terletak 18 kilometer ke utara Gaza.

Sejak serangan tentera Israel, kumpulan-kumpulan kecil di Gaza melakukan serangan roket jarak dekat, namun serangan Jumaat lalu itu menggunakan roket Grad. - AP