Kalau dah bukan rezeki



Petang tadi, pulang dari kerja, kami ke pasar malam di Bandar Darulaman, berhampiran Petronas untuk membeli makan malam nasi karisma udang yang klasik beserta air soya Pak Cik Lib yang istimewa (Ummuhumaira kata terbaik di Malaysia). Biasanya makan malam ummuhumaira akan masak walaupun yang ringkas-ringkas je, tapi petang ni badannya lenguh-lenguh lepas dikerjakan oleh Kak Saadiah di Taman Teja(mengurut le tu).

Sebelum keluar dari kereta, Humaira berpesan, “Ayah belikan maira air soya dalam cawan ye, maira dahaga sangat ni”

“Ok Maira” saya menjawab sambil menutup pintu kereta lantas terus bergegas untuk menyelesaikan misi.

Dalam masa hanya 20 minit, tangan telah penuh dengan plastik-plastik makanan dan buah-buahan, lalu saya kembali ke kereta menjinjit plastik-plastik sambil memegang air soya dalam cawan yang dipesan oleh anak kesayangan.

Sampai di kereta, saya meletakkan barang-barang di bahagian belakang kereta sambil menghulurkan air soya dalam cawan kepada Maira. Sebelum saya sempat masuk ke bahagian depan tempat pemandu, entah bagaimana air soya di tangan Humaira terlucut jatuh lalu membanjiri tempat duduk pemandu.

“Masyaallah” itu sahaja perkataan yang keluar dari mulut kami serentak
saya hanya melihat dengan hati yang hampa, nak dimarah pun bukan salahnya dan sememangnya bukan dia sengaja, lagipun teringat ketika kecil dulu selalu juga saya menumpahkan air, memecahkan gelas pinggan dan sebagainya di rumah.

Apa yang terlintas dikepala saya ketika itu adalah ternyata air soya dalam cawan itu bukan rezeki yang ditentukan untuk kami, walaupun telah berada ditangan, namun ketentuan Allah telah meyakinkan saya bahawa ia bukan untuk kami petang itu.

Urusan rezeki bukanlah hak milik mutlak manusia, walaupun manusia itu berusaha sekuatnya, namun ketentuan rezeki terletak ditangan yang maha esa. Ramai yang gagal memahami hakikat ini dalam kehidupan seharian:

“kenapa aku tak dapat anjakan gaji tapi orang lain dapat, kenapa dia dapat, padahal markah prestasi aku lagi tinggi dari dia ?”

“kenapa aku tak naik pangkat ke DS52, dah cukup syarat pun kenapa tak diluluskan juga, rasanya borang aku lebih complete dari borang dia, tapi dia pulak yang dapat?”

“kenapalah aku masih gagal subjek ni?, aku dah usaha sungguh-sungguh dah, memang aku ni bebal agaknya”

“Dia tu entah apa sumbangan pada fakulti, tiba-tiba dapat anugerah cemerlang, aku yang bermatian bekerja ni habuk pun tarak”

Walaupun dalam kehidupan, sentiasa ada sebab-sebab yang membolehkan kita menudingkan jari, mencari kesalahan orang atas kegagalan kita mendapatkan sesuatu atau menyalahkan keadaan dan persekitaran, namun hakikat yang sebenar adalah urusan rezeki itu ketentuan milik tuan kepada sekalian alam.

Jika dimurahkan rezeki, bersyukurlah, jika masih belum diluaskan, bersabar dan berdoalah. Satu perkara lagi yang perlu diingat bahawa rezeki itu bukanlah hanya semata-mata wang ringgit dan makanan sahaja. Kesihatan juga rezeki, anak-anak juga rezeki, kelapangan waktu juga rezeki, ilmu yang bermanfaat juga rezeki, teman-teman dan pasangan yang baik juga adalah rezeki.

Petang tadi, melalui segelas air soya yang tumpah begenang di kereta, Allah memberikan keinsafan tentang hakikat rezeki yang sebenar-benarnya.

Mi Goreng, Semangkuk Durian, Sebungkus Koko Crunch



Satu sms masuk petang itu “En, lagumano pete ni, jadi ko?”

Alamak, saya hampir terlupa temujanji dengan pelajar praktikum dari Kelantan hari ini, mereka sepatutnya menghantar laporan petang ini di bilik saya, tapi entah bagaimana, saya pulang agak awal dari biasa ketika mereka baru tiba di UUM.

“Xpolah, mari hata di rumoh sayo jelah, buleh? Saya jamu durian”

Tanpa berfikir panjang, saya terus mengajak mereka ke rumah, teringat durian D24* yang masih ada 4 biji dirumah,” hmm, rezeki budak-budak nil ah agaknya.”

“Eh takkan nak jamu durian je bang, depa mai dari jauh, gilah beli apa-apa kat pasar
malam, nanti syifa masak untuk depa”

Isteri di rumah memberi cadangan

“Oh betul juga ye, abang beli mi boleh, kita goreng mi untuk budak-budak ni”

Dari surau di Jitra, saya terus menuju ke pasar malam, mencari bahan-bahan untuk mi goreng. Tiba di rumah, saya dan isteri terus membelah durian, sambil membelah durian, teringat pula untuk menghulurkan sepinggan durian ke jiran sebelah.

“tak sedap pula kita sedap-sedap makan durian, jiran sebelah terhidu sedap baunya sahaja, mehlah isikan beberapa ulas untuk diberi pada jiran sebelah”



Seperti biasa, Humaira menjadi utusan menghantar sepinggan durian ke rumah sebelah.

Masuk waktu maghrib, pelajar-pelajar dari Kelantan tiba, saya mengajak mereka masuk untuk berehat-rehat dulu sambil saya berbuka puasa dan solat Maghrib.

Selepas selesai makan dan berbincang tentang laporan, terus saya bergegas ke Jitra Sport Arena untuk program riadhah Futsal bersama sahabat-sahabat dalam ISMA.

Malangnya, waktu saya tiba mereka telah selesai permainan, setelah bertegur sapa bersama sahabat-sahabat, terus saya ke Yawata untuk membeli susu humaira yang telah kehabisan.

Semasa berjalan di rak susu, saya terlihat bungkusan Koko Krunch, tiba-tiba teringat permintaan si kecil untuk membelikannya Koko Krunch kerana dia sangat teringin untuk merasainya.

Lantas saya mencapai sebungkus kecil Koko Krunch untuk memenuhi permintaan si kecil.
Tiba di rumah jam 1030 pm, Humaira yang telah tidur, tiba-tiba muncul dari tangga, melihat saya pulang bersama plastik Yawata, si kecil bertanya “Ayah beli apa tu?”



“Ayah beli Koko Krunch untuk Maira, best tak?”

“Waaah, seronoknya ayah, esok maira nak makan Koko Krunch dengan susu boleh tak, Maira suka sangat Koko Krunch”

Wajahnya berseri-seri dengan senyum yang hingga ke telinga.

Ketika menemani si kecil tidur, saya teringatkan pemberian-pemberian kecil saya dan isteri sepanjang hari ini, benarlah, tangan yang diatas lebih bermakna dari tangan yang di bawah, orang yang memberi akan lebih gembira dari orang yang menerima. Malam itu saya tidur dengan perasaan hati yang sungguh damai dan bahagia, walaupun dengan pemberian yang kecil-kecil sahaja, tapi bagi hati ini, pemberian kecil ini terasa cukup indah dan bermakna, alangkah indahnya hidup pada memberi.

Walaupun pada memberi ada jalan untuk mencapai ketenangan hati, namun ramai yang mengabaikan jalan ini. Mereka menyangka damai dan kegembiraan itu boleh dibeli dengan banyaknya wang, pangkat dan jawatan. Namun hakikatnya, kedamaian perasaan itu adalah sesuatu yang tidak akan dapat dibeli walau dengan 1 juta ringgit sekalipun.

Berapa ramai jutawan yang mempunyai wang berjuta-juta bahkan harta berbillion, namun hati masih sentiasa resah gelisah, jiwa kacau bilau, gelora perasaan bagai ombak ganas dilautan yang dilanda ribut yang kencang.

Namun, tidak juga sedikit bilangannya yang mencapai bahagia walau hanya tinggal di pondok usang, makan nasi berlaukkan garam dan kais pagi makan petang. Walaupun begitu, hati mereka masih tenang, damai bagaikan air tasik yang tenang dipagi hari yang cerah.

Kadang-kadang kedamaian itu ada pada hanya sebiji tamar, atau sepinggan mi goreng, atau sebiji durian atau sebungkus Koko Crunch.

Mohd Hisham Mohd Sharif
25 Jun 2007
9:58 pm
_________________________________________________________________________________
*D24 adalah durian klon terbaik yang dihasilkan oleh MARDI. Makan durian ini anda pasti teruja dengan keunikan rasanya.

Semoga Allah Merahmatimu, Ammar



Gambar diambil dari blog Ammar Korea

Tatkala mendengar berita tentang pelajar – pelajar Malaysia yang kemalangan di Mesir, hati terasa berdebar-debar, naluri memberitahu bahawa yang terlibat itu adalah pemuda-pemuda dakwah, saudara-saudaraku dalam jemaah. Ternyata kegusaran hati ini ada asasnya, 5 ikhwah yang aktif dalam dakwah terlibat dalam kemalangan tersebut. Seorang meninggal dunia, seorang koma, yang lain mengalami cedera yang tidak kurang lukanya.
Almarhum Akh Ammar Bin Zulkifli, walaupun saya tidak mengenalinya, tatkala membaca blog beliau, terasa kehangatan ukhuwwahnya, walaupun dipanggil ke rahmat Allah dalam usia yang masih terlalu muda, koleksi amal solehnya berjela-jela. Moga Allah meletakkan rohnya sebaris dengan para mujahid dan orang-orang yang telah diberi keampunan oleh Allah. Moga berbahagia disana wahai Ammar.

Buat teman-teman yang ditimpa musibah yang berat ini, moga dilimpahkan kesabaran, dan diberikan ganjaran yang besar dari Allah, marilah kita sama-sama memanjatkan doa buat mereka dan menghulurkan bantuan seadanya, buktikanlah ukhuwwah kita bukan hanya diwaktu senang, bahkan lebih tebal ketika sahabat didalam kesusahan.

Sesungguhnya sebaik-baik peringatan bagi orang mu’min itu adalah tazkirah kematian. Musibah dan kematian boleh datang pada bila-bila masa, tanpa mengira samada usia kita masih tua atau muda, tidak kira tika punya anak yang masih kecil atau tatkala masih baru memulakan pengajian atau baru memulakan kehidupan. Bersegeralah dalam melakukan amal kebaikan dan bersama-samalah dalam kelompok mereka yang sentiasa berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Tingkatkanlah iman, tingkatkan amal, sebelum tiba pada kita suatu hari yang tidak akan ditangguhkan atau dicepatkan walau sesaat.

Almarhum Ustaz Dr. Fathi Yakan: Legasinya Akan Terus Hidup



Patah tumbuh hilang kan berganti, namun tidak terpakai peribahasa itu bagi seorang mujahid, musleh, mu'min dan muslim seperti Almarhum Ustaz Dr. Fathi Yakan.

Kehidupan yang dipenuhi dengan perjuangan beserta legasi-legasi yang akan terus hidup pasti akan terus menyalakan obor perjuangan umat ini hingga ke mercu kejayaan.

Di Malaysia, siapa yang tidak mengenali "Apa Erti Saya Menganut Islam", sebuah kitab klasik yang telah mengubah kehidupan puluhan ribu umat islam di Malaysia bahkan mungkin jutaan umat islam di seluruh dunia.



"Apa Erti Saya Menganut Islam" telah mengubah dimensi kefahaman tidak sedikit dari umat ini tentang kefahaman Islam yang sebenar, bahawa keberadaan kita di atas muka bumi ini sebagai muslim ada tugas dan tanggungjawab yang harus kita laksanakan.

Berbahagialah Ustaz Fathi Yakan atas sumbangannya terhadap umat ini, AESMI pasti akan menjadi saksi terhadap dirinya di hadapan Allah bahawa dia telah menyampaikan kalimah kebenaran.

Sudah pastilah bahawa legasi amal soleh ini akan menjadi amal jariah yang menjadi peneman dan pemberi cahaya di dalam kubur beliau.

Almarhum Ustaz Fathi Yakan telah mendahului kita, rohnya pulang menemui ilahi dalam keadaan dirinya berbahagia, kita bagaimana? apakah legasi yang kita tinggalkan untuk menjadi amal jariah buat kita di alam barzakh sana, apakah harta dunia yang kita kumpulkan yang akhirnya akan difaraidkan atau amal jariah sekadar derma RM 1 yang kita masukkan dalam tabung masjid setiap Jumaat.

Biar miskin dunia tapi kaya di akhirat, tapi lebih baik jika kaya di dunia dan kaya pula di akhirat.

Al Fatihah untuk Almarhum Ustaz Fathi Yakan....

Buat Pelayar-Pelayar Bahtera


“Ayang tau tak esok hari apa?”

Saya bertanya kepada isteri pada 5 Jun lepas, sambil memicit kakinya yang kerap lenguh dek kerana lebihnya muatan yang dibawa.

“Eh, entahlah bang” Jawab ummuhumaira, entah dia tahu atau pura-pura tak tahu.

“Esok kan ulangtahun perkahwinan kita, dah 5 tahun dah kita bersama dalam alam rumahtangga” Jawab saya cuba untuk berbahasa.

“La yeke bang, lupa lah pulak” jawabnya separuh terkejut, namun saya tidak terkejut kerana isteriku memang kerap terlupa tarikh-tarikh yang penting, hari jadi suaminya pun selalu suaminya yang mengingatkan.

2 Minggu lepas dia mengucapkan selamat hari bapa, padahal hari bapa adalah pada 13 Jun, mengingati tarikh bukanlah kelebihan isteriku, namun kelebihannya cukup banyak.

Sedar tak sedar, sudah 5 tahun kami melayari bahtera perkahwinan, pelbagai pahit manis telah diharungi bersama, Alhamdulillah masih bertahan hingga hari ini, dan saya berdoa agar cinta kami kekal hingga ke syurga.

Perkahwinan adalah sebuah perkongsian, yang memerlukan banyak pengorbanan, usahlah harapkan kesempurnaan dari pasangan, kerana kesempurnaan itu hanyalah milik tuhan. Perkahwinan juga suatu ujian, kerana gelora ombak yang kadang-kadang melanda, menduga kesabaran hingga ke puncaknya.

5 tahun melayari lautan ini, saya semakin faham akan kewajaran saranan Rasulullah bahawa pilihan pasangan yang beragama itulah yang terbaik, bukannya rupa, harta, keturunan dan sebagainya.

Buat yang belum melayari bahtera ini, agama bukan hanya dilihat pada labuhnya tudung yang dipakai, atau hitamnya dahi kerana banyak bersujud, tapi pilihlah yang menjaga kehormatan dirinya, prihatin pada teman-teman disekilingnya, baik tuturkatanya walaupun tudungnya hanyalah 3 segi biasa sahaja, atau nipis janggut dan tebal misainya.

Buat yang baru melayari bahtera ini, pilihan beragama bukanlah jaminan bahawa rumahtangga itu kekal bahagia tanpa taqwa yang menjadi pengawasnya. Bangunkanlah rumahtangga dengan iman dan taqwa, bukan dengan besarnya rumah dan canggihnya kelengkapan, binalah istana di syurga sebelum membina mahligai di dunia. Jadikanlah rumahtangga sebagai taman-taman syurga yang sentiasa dilimpahi sakinah, mawaddah dan rahmah.

Buat yang telah lama melayari bahtera ini, sabar itu adalah kunci kepada kelangsungan sebuah perhubungan. Pelbagai masalah dan dugaan yang pasti akan datang, kerenah isteri, hubungan dengan ibu bapa dan mertua, masalah kewangan, masalah zuriat dan pendidikan anak-anak, masalah orang ketiga serta 1001 macam lagi masalah. Setiap pasangan pasti ada masalahnya yang tersendiri, namun penyelesaiannya hanya ada satu, itulah sabar.

Selamat pengantin baru dan selamat menyambut ulangtahun perkahwinan buat semua teman-teman yang baru memulakan langkah dan yang telah berada didalam bahtera, moga cinta kekal bahagia hingga ke syurga.

Buang Tebiat



Semenjak membaca majalah Anis bulan Mei berkenaan kisah Salman Ali Shariati dan kakaknya Zahra Masoumah yang cuba untuk merenangi selat inggeris, aku merasa tercabar dan berkobar-kobar. Saat membaca jadual latihan adik Salman yang setiap hari bangun seawal jam 5 pagi untuk latihan renang, diikuti dengan jogging 12 km pada setiap petang selain aktiviti berbasikal sejauh 110 km setiap hujung minggu, aku merasa kagum.

Kental sungguh semangatnya, hebat jadual latihannya, yang lebih menyeronokkan adalah Salman dan kakaknya kelihatan amat menjaga aurat masing-masing walaupun ketika berenang, dan aku yakin mereka pasti menjaga solat.

Semangatku membara, aku teringat kenangan ketika aku menjadi juara merentas desa sekolah, mewakili sekolah dalam acara olahraga, ketika itu aku juga berlatih setiap petang, malah setiap pagi hujung minggu aku pasti tidak akan ketinggalan berjogging mendaki bukit berhampiran rumahku di kawasan Keramat.

Berbeza sekarang ini, dimana aku hanya turun riadhah 2 kali seminggu selain sekali sekala mengangkat cangkul menebas hutan di belakang rumah. Pagi jumaat juga, aku selalunya tewas diatas sofa empuk selepas pulang solat subuh di Masjid Muttaqin.

Hari ini aku membulatkan tekad, basikal yang aku beli lebih kurang setahun yang lalu yang tersadai ditepi rumah harus aku baiki semula, lalu dengan penuh semangat aku menghantarnya ke kedai basikal yang terletak lebih kurang 7 km dari rumahku.

Petang, basikalku siap, aku tidak sabar untuk memulakan latihan pertamaku, aku pantas menggesa isteriku menghantarkanku ke kedai basikal untuk aku mengambil basikal yang telah siap diperbaiki.

Jam menunjukkan 7 pm ketika aku sampai di kedai, aku cukup yakin bahawa aku mampu untuk sampai ke rumahku hanya dalam masa 20 minit sahaja.

Rupanya panas tidak sampai ke petang, ketika pendakian pertama di bukit berhampiran lampu isyarat darulaman, tayar belakang basikalku berbunyi agak pelik dan kayuhan menjadi lebih berat dari biasa.

“Ah, apa pula yang tak kena ni” hati mula bimbang, tapi aku meneruskan kayuhan hingga ke tasik darulaman dalam keadaan tayar gelong dan bergesel dengan kerangka basikal, menyebabkannya menjadi berat.

Tanpa dipinta peluh jantanku mula menitis, azan maghrib telah 5 minit berkumandang, aku semakin cemas, rumahku masih 3 km di depan.

Tiba-tiba, “skreeet” tayar belakangku berbunyi lantas ia terus terlekat di kerangka basikal, ia tidak boleh dikayuh lagi, untuk menolaknya pun hampir tidak mungkin. Aku cemas bercampur kecewa bercampur marah.

Dengan perasaan yang berkecamuk dalam hati, aku tinggalkan sahaja basikalku di tepi jalan, dan aku terus sahaja menapak pulang dengan hati yang panas, hampir 5 minit aku berjalan, sebuah kereta menghampiri aku…

“Alamak, ustaz kamarudin rupanya…” aku merasa malu dalam hati, bercampur gembira, kerana aku tidak perlu menapak lagi maghrib itu, kebetulan Ustaz Din nak ke surau untuk solat Maghrib berjemaah.

“Jogging ke tasik ke petang-petang ni Sham, dah maghrib ni, awat lambat sangat?

Aku hanya mampu tersengih, sambil mengangguk-ngangguk.

Ustaz Din kemudian menambah lagi,

“10 tahun dulu boleh la jogging laju, sekarang ni dah lain dah, dah Maghrib pun tak sampai rumah lagi, silap bajet masa kot”

Aduh, tajamnya Ustaz Din ni, aku hanya mampu tersengih, mujurlah 3 minit sahaja aku sudah sampai ke lorong berhampiran rumahku.

“Ustaz turunkan kat sini je, saya nak lari pecut sampai rumah”

“Haa, elok lah tu” Ustaz Din menjawab

Sampai di rumah, muka ku merah padam dan bajuku basah lencun, Humaira yang baru selesai mandi tersengih lebar sambil berkata

“Ayah, nape balik lambat, best tak naik basikal tadi”

“Grrrrrrrrrrr…..”

Ketakutan Yang Menerbitkan Keberanian



“Ayah, buang la lipas tu, Humaira takut…”

“Humaira, lipas tu kan dah mati, bukan dia boleh buat apa dah, lagipun cuba Humaira tengok, sape lagi besar, Humaira ke lipas?”

“Humaira la lagi besar ayah, ayah, Humaira takut, cepatla buang lipas tu….”

Entah kali yang ke berapa telah saya terangkan kepadanya bahawa lipas itu tidak perlu ditakuti, terutamanya apabila telah menjadi mangsa selipar jenis bowling saya, atau mungkin menjadi mangsa semburan Ridsect.

Pernah saya bertanya kepadanya, kenapa dia takutkan lipas, katanya

“Lipas tu kaki dia ada duri ayah, sebab tu la Humaira takut”

Susah juga rasanya nak mendidik anak perempuan yang seorang ini agar lebih berani berhadapan dengan serangga-serangga perosak.

Ketakutan Humaira kepada lipas adalah kerana dia mengenal lipas itu sebagai binatang yang kakinya berduri, lantas ketakutan itu diterjemahkan kepada tindakan yang menjauhkan dirinya dari lipas setiap kali berhadapan dengannya.

Begitu lumrah sifat semulajadi manusia, manusia akan takut kepada apa sahaja yang akan memberi ancaman kepadanya. Ketakutan kepada kamera polis trafik akan menyebabkan pemandu yang memecut laju memperlahankan kenderaan kerana takut disaman.

Ketakutan kepada harimau, menyebabkan manusia menjauhkan diri darinya kerana tidak mahu menjadi lauk harimau tersebut.

Manusia yang takut kepada manusia yang lain, akan menjadi hamba kepada manusia tersebut, kerana takut akan ancaman yang mampu diberikannya.

Islam datang untuk membebaskan manusia dari belenggu ketakutan sesama manusia. Sifat taqwa yang wajib khatib berpesan pada setiap khutbah Jumaat adalah sifat yang akan menjadikan setiap muslim individu yang paling berani berdepan dengan cabaran-cabaran kehidupan.

Muslim yang bertaqwa tidak akan takut kehilangan rezqinya dalam perjuangan, kerana dia faham dan sedar bahawa hanya Allah yang member rezqi, bukannya manusia.

Muslim yang bertaqwa tidak akan takut terhadap ancaman musuh terhadap nyawanya, kerana dia yakin bahawa hanya Allah yang berkuasa menghidup dan mematikan manusia.
Muslim yang penuh dengan sifat takut kepada tuan sekalian alam ini, akan menjadi manusia yang paling berani, bebas dari ketakutan terhadap manusia, jin dan syaitan.

Namun, sifat takut ini tidak datang bergolek, ia perlu ditanam, disemai dan dibajai sepanjang masa. Rasulullah mengambil masa 13 tahun untuk mendidik sahabat dengan sifat taqwa. Hasilnya, lahirlah pemuda-pemuda yang mengkagumkan, tidak takut walau kepada kuasa terbesar dunia seperti Rom dan Parsi ketika itu.

Pra syarat kepada sifat taqwa adalah kenal kepada punca ketakutan itu, iaitu Allah yang maha agung. Kenal Allah, adalah kunci kepada sifat taqwa. Beroleh kunci ini, maka pintu taqwa akan mudah untuk dibuka.

Pintu taqwa ini bukanlah seperti pintu biasa, perlu ada cara yang khusus untuk memasukkan kunci dan memutar tombolnya, dan cara ini ditunjukkan oleh utusan kepada pemilik kunci tadi, siapa lagi jika bukan Rasulullah s.a.w.

Kenal Allah, Ikuti Rasulullah itulah hakikat taqwa yang sebenar. Ketakutan yang akan menerbitkan keberanian.

Equally?, Come On Meter!

Look a-like meter analysis had stated that my daughter's face is equally the same. Come on meter, everywhere i go, people will said that Humaira look more like her father, what a nonsense look a-like meter

MyHeritage: Look-alike Meter - Family finder - Pedigree

sigh, what a technology anyway

Me Speakee No Good Englizzz...

When it come to english, i have to admit, it's my worst nemesis. I think in Malay, dream in Malay, write my blog in Malay, teach with broken english, preparing lecture notes with simple english, doing research and consultation work in Malay, All i can say is that english is not my favourite subject since my schooldays until now. I believe My sister and brother are far more superior in English than me.

But now, i have to prepare for the IELTS test. One of the requirements for me to pursue my PhD, i really hope that i can handle the test without having a butterfly flying in my stomach.

Azizi, if u can somehow transfer your english skill to me, please do it now! i really need it seriously!

Suatu Hari Di Akhirat


Di akhirat nanti setiap detik kehidupan kita tidak akan terlepas dari pertanggungjawapan, secara khusus usia muda kita. Pernahkah kita imaginasikan bagaimana agaknya situasi kita di akhirat nanti jika kita masih lagi dengan cara hidup kita yang melalaikan.

“Wahai Abu Bin Abi, pada pagi 31 Mei 2009 semasa usia kamu 30 tahun, di pejabat kamu di Kota Damansara kamu telah didapati bersalah masuk ke laman web lucah, kamu telah menghabiskan masa lebih kurang 2 jam menghadapnya, hukuman bagi perbuatan kamu adalah balasan neraka selama 2 ribu tahun”

Bayangkan jika ditanya kepada kita soalan demikian? Bagaimanakah kita mampu untuk menjawabnya, dan bagaimana pula kita untuk kita melindungi malu kita dari pandangan teman-teman kita yang lain.

“Eh, mana ada, pada waktu itu, aku sedang bersolat dhuha di surau pejabatku, mana ada aku berbuat sedemikian” mungkin kita cuba “cover line” dengan berbohong untuk mengelak dari menerima hukuman.

Perlu diingat, tiada peguam yang akan membela, pada waktu itu mulut kita tidak akan mampu untuk berbohong dan berhujah lagi, kerana ketika itu nanti, kaki, kulit dan segala anggota badan kita akan menjadi saksi atas segala perbuatan kita ketika di dunia.

“Bohong!” tiba-tiba jari menjerit, “Benar dakwaan itu, kamu pada waktu itu telah menggunakan aku untuk melayari laman web lucah, sekarang terimalah balasannya!”

“Ye memang benar!” sampuk kulit muka pula “Memang benar dia melakukan yang sedemikian!” ketika itu, mulut kita akan dikunci dengan kemas dari pembohongan manakala yang akan bersuara adalah anggota tubuh badan kita pula.

Itu baru satu soalan dan hanya secebis waktu dalam kehidupan kita yang panjang, bayangkan jika seluruh usia muda kita akan ditanya tentang kemana penggunaaannya, dan sebahagian besar darinya dihabiskan dengan aktiviti yang sia-sia dan bercanggah dengan agama.

Ketika itu, tiada peluang kedua, yang berguna hanyalah amal soleh dan aktiviti kehidupan kita yang baik sahaja ketika di dunia, tiada peluang untuk kita kembali semula ke dunia, menyesal bagaimanapun tidak akan berguna lagi.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya lagi.